KEMBOJA - Prihatin terhadap nasib golongan yang memerlukan dan kepentingan pelajaran terhadap kanak-kanak, badan bukan kerajaan NGO Antarabangsa terus giat menjalankan kerja amalnya dalam menyalurkan bantuan.

Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, kepentingan pendidikan akan terus menjadi kunci utama buat masyarakat walau di mana jua untuk menaik taraf sosio ekonominya.

"Dengan adanya pendidikan yang baik, ia mampu membantu masyarakat memerlukan keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya ketika melawat beberapa sekolah, anak yatim dan mualaf di sempadan Kemboja dan Vietnam, baru-baru ini.

Menurutnya, keperluan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak perlulah meliputi pelbagai cabang ilmu khususnya pendidikan agama.

"Masyarakat perlu bangkit dan berusaha memastikan aspek pendidikan diberi keutamaan khususnya kepada anak mereka.

"Jangan kerana kita miskin pendidikan anak diabaikan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut memohon jasa baik NGO tempatan bagi memainkan peranan untuk membantu memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat agar mementingkan pelajaran anak masing-masing.

"Pihak kami akan terus menjalankan kerjasama dengan penduduk kampung bagi mewujudkan tabung kebajikan bagi membantu anak yatim dan mualaf di sini.

"Kami akan terus berusaha membantu anak yatim dan mualaf supaya mereka tidak tercicir dari segi pelajaran,” katanya.

Menurutnya, usaha dilakukan demi kejayaan generasi baharu masyarakat di sana untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita mahu lihat suatu hari ini anak berjaya melanjutkan  pelajaran ke luar negara dan dapat berbakti kepada kampung, masyarakat dan negara.

"Oleh itu, kerjasama penduduk kampung untuk bersama-sama membantu anak ini amat diperlukan bagi memastikan pendidikan yang sempurna dapat diberikan, sekali gus mengelakkan buta huruf dalam kalangan mereka,” katanya.