BERLIN - Beberapa negara dunia kini mula melonggarkan sekatan untuk membuka semula negara mereka dan menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Bermula semalam, pelajar sekolah menengah di 121 institusi di Wuhan, China, kembali ke sekolah buat pertama kalinya sejak bandar raya mereka menjadi titik awal koronavirus (Covid-19) dan dikenakan 'lock down' sejak Januari lalu.

Ia adalah usaha terbaharu dalam menormalkan kehidupan secara bertahap di Wuhan dan sekitar wilayah Hubei.

Di tempat lain di China, sekolah yang ditutup atau beroperasi dalam talian sejak Januari mula dibuka secara beransur-ansur bulan lalu dengan Beijing dan Shanghai membenarkan pelajar kembali ke sekolah minggu lalu.

Di Korea Selatan, kehidupan seharian kembali normal bermula semalam dengan pekerja  kembali ke pejabat dan muzium serta perpustakaan dibuka semula di bawah peraturan penjarakan sosial selepas kes baharu semakin menurun.

Beberapa sukan profesional termasuk bola keranjang dan bola sepak turut memulakan musim baharu minggu ini.

Sekolah bagaimanapun akan dibuka semula secara berperingkat mulai 13 Mei depan.

Di Jerman, ia akan mengambil langkah baharu menuju normalisasi pada bulan ini termasuk membuka semula kedai dan sekolah selepas beberapa minggu aktiviti tergendala susulan perintah 'lock down'.

Keperluan untuk mengembalikan ekonomi negara digariskan kelmarin berdasarkan data rasmi baharu yang menunjukkan pengeluaran Jerman pada Mac lalu mengalami penurunan terburuk.

Bermula minggu depan, pelajar tadika dan sekolah rendah juga boleh ke sekolah.

Kedai pula boleh dibuka tetapi syarat untuk kebersihan, pengurusan masuk kedai dan mengelakkan beratur akan dikenakan. - AFP

Artikel berkaitan:

NUTP mohon syarikat pembekal internet lebih prihatin beri akses percuma untk guru, pelajar

Terpaksa panjat bukit, naik bot enam jam untuk dapatkan kerja sekolah

Pertandingan dalam talian cungkil kreativiti dalam pembelajaran, kokurikulum

16 jawapan KPM mengenai pembukaan semula sekolah, persoalan berkaitan guru, pentadbir sepanjang PKPB

Pembukaan semula sekolah dinilai dalam tempoh empat minggu ini