ROTTERDAM - Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditembak seorang lelaki yang memasuki kawasan sekolahnya di bandar Rotterdam, kata pihak  berkuasa.

Dalam kejadian Selasa lalu, Humeyra Öz baru menamatkan sesi pembelajaran apabila ditembak ketika  berada di tempat letak basikal Rotterdam's Design College yang mempunyai kira-kira 300 pelajar.

Ekoran insiden terbabit, pihak berkuasa menahan seorang lelaki berusia 31 tahun.  Mangsa berkenalan dengan suspek yang dikenali sebagai Bekir E, menerusi laman Facebook dua tahun lalu.

Hubungan mereka tidak dipersetujui kerana umur Öz masih terlalu muda, namun suspek terus mengganggu  mangsa sehingga keluarganya terpaksa membuat  laporan polis kira-kira setahun lalu.

Pihak pendakwa berkata, suspek disabitkan bersalah baru-baru ini dan berada di bawah pengawasan,namun  tidak menyatakan tuduhan yang dikenakan  terhadapnya. - BBC