CHRISTCHURCH - Seorang pelarian Syria dan anak lelakinya merupakan dua mangsa pertama serangan masjid Christchurch yang dikebumikan semalam.

Ratusan komuniti Muslim dan ahli keluarga serta kenalan mangsa membanjiri Tanah Perkuburan Memorial Park Linwood bagi mengiringi perjalanan terakhir jenazah Khaled Mustafa, 44, dan anak lelakinya Hamza,15 tahun.

Keluarga Khaled sebelum ini melarikan diri daripada cengkaman perang saudara di Syria dan tinggal di sebuah kem pelarian di Jordan sebelum menetap di New Zealand sejak tahun lalu.

Khaled dan Hamza yang sedang menunaikan solat Jumaat, maut apabila pengganas warga Australia Brenton Tarrant melepaskan tembakan rambang di dalam Masjid Al Noor.

Adik lelaki Hamza, bernama Zaid berusia 13 tahun yang turut tercedera dalam serangan yang meragut 50 nyawa itu, hadir ke pengebumian bapa dan abangnya dengan berkerusi roda.

Antara lain yang hadir ke pengebumian terbabit termasuklah Abdul Aziz, seorang pelarian Afghanistan yang dengan berani berhadapan dengan pengganas terbabit di Masjid Linwood.

Seorang lagi jemaah Masjid Linwood, Alabi Lateef, yang turut berdepan dengan pengganas berkenaan berkata, dia dan beberapa individu lain berpeluang memandikan jenazah kelmarin.

Terdahulu, sejumlah besar waris dan ahli keluarga menzahirkan kekesalan serta rasa berang akibat kelewatan pihak berkuasa menyerahkan mayat mangsa untuk dikebumikan.

Sementara itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern yang melawat Sekolah Tinggi Cashmere di mana Hamza dan Zaid bersekolah, menyatakan perasaan sedihnya atas tragedi yang berlaku.

Ardern menegaskan pengganas terbabit akan menerima hukuman setimpal dengan jenayah keganasan yang dilakukannya, selain berikrar tidak akan sesekali menyebut nama pengganas itu, sebaliknya beliau mahu rakyat New Zealand mengenang nama mangsa yang terkorban. - AFP

Ini pula perkongsian daripada seseorang yang berada di upacara pengebumian Mohd Haziq https://www.gpsbestari.com/berita/selangor/hidung-dan-bibir-merah-seperti-masih-hidup-jenazah-haziq-selamat-dikebumikan-1.924148