CHIANG RAI - Operasi menyelamat 12 pemain bola sepak remaja Wild Boar dan dan seorang jurulatih yang terperangkap di gua Tham Luang yang disambung semula semalam, berjalan lancar.

Sejak kelmarin, penyelam melancarkan misi berani dan berbahaya untuk membawa kanak-kanak itu menerusi laluan sempit dan ditenggelami air yang sebelum ini meragut nyawa bekas penyelam tentera laut.

Sehingga jam 10 malam (waktu tempatan) empat mangsa berjaya dibawa keluar, menjadikan mangsa yang diselamatkan kepada lapan orang.

Dalam usaha menyelamat hampir empat jam kelmarin, diketuai penyelam Britain, kanak-kanak itu berenang merentasi rangkaian terowong bahaya yang sudah meragut nyawa seorang bekas anggota unit Seal Tentera Laut Thailand minggu lalu.

Mereka dipandu oleh dua penyelam skuba dengan setiap seorang memakai topeng pernafasan sepenuhnya tetapi kini tidak dibenarkan dilawati ibu bapa berhubung risiko jangkitan, kata pegawai.

Bekas Gabenor Chiang Rai yang juga merupakan ketua misi menyelamat operasi tersebut, Narongsak Osottanakorn mengesahkan empat mangsa remaja telah dibawa keluar pada Ahad, namun enggan mengulas lanjut keadaan kesihatan mereka.

Terdapat beberapa cabaran seperti oksigen yang makin berkurangan sehingga terpaksa menangguhkan misi SAR kerana pasukan penyelamat memerlukan sekurang-kurangnya 10 jam untuk membuat persiapan bagi operasi seterusnya.

Empat remaja pertama dinamakan media tempatan sebagai Monhkhol Boonpiam, 13, Prachak Sutham, 14, Natthawut Th akhamsai, 14, dan Phipat Phothi, 15.