CIAMIS - Seramai 240 ibu di Kecamatan Baregbeg, Kabupaten Ciamis, Jawa Barat bakal kembali ke sekolah untuk meningkatkan keupayaan akademik masing-masing.

Penyertaan kaum ibu dalam program 'Kembali Sekolah Kembali Belajar' merupakan kesinambungan Program Keluarga Harapan (PKH) anjuran kerajaan.

Rata-rata golongan ibu di Ciamis yang hanya tamat sekolah rendah menyambut baik program berkenaan kerana mereka dapat menimba ilmu sekali gus membimbing anak yang sedang bersekolah.

"Program ini amat baik dan saya tidak sabar untuk kembali belajar," kata seorang suri rumah dari Desa Mekarjaya bernama Atis ketika pelancaran program terbabit di Ciamis, kelmarin.

Menurut ibu dua anak tersebut, jadual belajar disesuaikan mengikut keperluan dan tidak akan menggangu urusan rumah tangga masing-masing.

Koordinator PKH Kabupaten Ciamis, Indra Ucu Maulana pula berkata, program tersebut membolehkan kaum ibu menjadi teladan buat anak-anak agar semangat bersekolah.