SIGI - Setelah menghuni kem perlindungan sementara selama 12 hari, anak-anak korban gempa dan tsunami di Desa Jono Oge, Kabupaten Sigi, Sulawesi Tengah menyatakan hasrat ingin kembali ke sekolah.

"Saya ingin kembali bersekolah, sudah terlalu lama tidak belajar dan uijan semakin dekat," kata seorang murid kelas 6 berumur 10 tahun, Jois Priscila yang ditemui di kem perlindungan di Desa Pombewe, Kabupaten Sigi.

Menurut Jois, dia dan teman sekelas sepatutnya menduduki ujian pada Disember 2018 hingga Januari 2019.

Namun, separuh daripada enam bangunan sekolah Jois musnah akibat gempa, sementara bangunan yang tidak runtuh mengalami keretakan teruk.

Seorang lagi kanak-kanak yang ditemui, Diego Maradono berkata, gurunya memaklumkan sekolahnya hanya akan dibuka paling awal dalam masa sebulan.

Desa Jono Oge merupakan antara tempat paling teruk terjejas susulan gempa dan tsunami yang menggegar Sulawesi Tengah 28 September lalu.

Berdasarkan pemantauan Agensi Aeronautik dan Angkasa Negara (Lapan), desa berkenaan mengalami fenomena pencairan tanah yang kritikal sekali gus menyebabkan kemusnahan\ dahsyat yang mengambil masa lama untuk dipulihkan.

Sekurang-kurangnya 180,000 kanak-kanak masih trauma akibat bencana dahsyat itu yang setakat ini mengorbankan lebih 2,000 nyawa, sementara ribuan mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan.

Selain menghulurkan bantuan fizikal, apa yang lebih penting adalah untuk memulihkan semangat anak-anak mangsa gempa agar mereka bangkit semula.