BANGKOK - Seramai 12 pelajar yang terperangkap dalam gua Tham Luang ditenggelami banjir lebih dua minggu pada akhir Jun lalu melawat pameran yang memaparkan kronologi operasi dramatik ketika usaha menyelamatkan mereka kira-kira dua bulan lalu.

Pameran interaktif yang diadakan di pusat beli belah, Siam Paragon itu memperincikan usaha kumpulan pakar pelbagai negara untuk mengeluarkan kesemua mangsa termasuk jurulatih mereka berusia 25 tahun dari gua banjir di utara Thailand tersebut.

Ia turut memaparkan model terowong sempit yang menjadi laluan untuk membawa kesemua mangsa keluar secara berperingkat dan model pengusung dengan patung dilengkapi topeng oksigen.

Selain itu, pameran itu juga memaparkan patung untuk memperingati bekas anggota tentera laut SEAL, Saman Kunan yang terkorban ketika menyertai operasi itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa melarang petugas media menemuramah kesemua mangsa yang masih trauma untuk membantu mereka kembali normal selepas berdepan pengalaman mengerikan itu yang juga mendapat perhatian seluruh masyarakat antarabangsa.

Bagaimanapun, kesemua remaja terbabit kembali menjadi tumpuan selepas mereka ditemuramah jurucakap kerajaan, Kolonel Werachon Sukondhapatipak yang berlangsung selama sejam, kelmarin.

Ketika ditanya perkembangan mereka selepas operasi itu, Prachak Sutham yang merupakan remaja pertama dibawa keluar berkata, segalanya masih seperti biasa, namun masyarakat lebih mengenalinya kini.

Anggota pasukan bola sepak Wild Boars itu juga akan diraikan dalam majlis 'United as One' yang bakal dihadiri lebih 10,000 tetamu.