DUBAI - Sebanyak 80 peratus gaji disumbangkan untuk pelajar miskin, mengadakan tuisyen secara semua untuk pelajarnya dan membimbing pelajar buat projek penyelidikan hingga menang peringkat antarabangsa.

Ini antara cerita inspirasi Guru Sains Kenya, Peter Tabichi, 36, yang merupakan penerima Hadiah Guru Global 2019.

Guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di kawasan pedalaman Kenya ini membawa pulan wang tunai RM4 juta ($1 juta).

"Saya berada di sini kerana pencapaian pelajar saya. Anugerah ini memberi mereka peluang. Ia menunjukkan kepada dunia bahawa mereka boleh lakukan apa sahaja," katanya dalam ucapan ketika menerima anugerah paling berprestij itu.

Tabichi berkata, golongan muda di Afrika tidak lagi akan dipandang rendah dengan anugerah yang membuka mata dunia ini.

"Afrika akan menghasilkan saintis, jurutera, usahawan yang nama mereka terkenal satu hari nanti di segenap pelusuk dunia. Remaja perempuan pula akan menjadi sebahagian besar daripada cerita kejayaan itu.

"Saya percaya, sains dan teknologi memainkan peranan utama dalam membuka potensi Afrika. Ini pagi di Afrika, langit cerah. Inilah masa buat Afrika," katanya.

Beliau, guru Matematik dan Fizik Sekolah Menengah Keriko di Kampung Pwani sebuah kawasan pedalaman di Lembah Rift, Kenya pada satu majlis yang dihoskan pelakon Hugh Jackman.

Guru berhati mulia ini menyumbang 80 peratus daripada gajinya untuk membantu pelajar miskin di sekolahnya yang serba kekurangan dan sesak dengan pelajar yang berlebihan.

Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar miskin yang tidak mampu membeli buku mahupun pakaian seragam sekolah.

Lebih 90 peratus pelajarnya daripada keluarga miskin dan satu pertiga daripada mereka yatim piatu ataupun hanya mempunyai ibu atau bapa tunggal.

Penagihan dadah, remaja mengandung, berhenti sekolah, kahwin muda dan bunuh diri adalah perkara biasa di sekolah itu.

Pelajar terpaksa berjalan kaki tujuh kilometer untuk ke sekolah, namun pada musim hujan jalan tidak boleh dilalui, mereka juga turut diancam kemarau dan kebuluran.

Walaupun hanya mempunyai sebuah komputer, dengan talian internet yang lemah dan nisbah guru dan pelajar 1:58, Tabichi mewujudkan 'Kelab Mencungkil Bakat' dan meluaskan fungsi Kelab Sains sekolah dengan membantu pelajar mereka cipta projek penyelidikan yang berkualiti untuk pertandingan peringkat kebangsaan. 

Ada pelajarnya mengambil bahagian dalam pertandingan Sains antarabangsa dan memenangi anugerah daripada Kesatuan Kimia Diraja selepas berjaya memanfaatkan tumbuh- tumbuhan untuk menjana elektrik.

Tabichi dan empat rakan sekerjanya turut gigih memberi tuisyen Matematik dan Sains secara semuka kepada pelajarnya, melawat pelajar ke rumah dan berjumpa ibu bapa mereka untuk mengambil tahu masalah yang dihadapi.

Dengan usaha Tabichi dan rakan-rakan, pendaftaran pelajar sekolah itu meningkat dua kali ganda kepada lebih 400 orang dan pencapaian pelajar juga meningkat.

Presiden Kenya Uhuru Kenyatta dalam videonya berkata:

“Peter, kisah anda adalah kisah Afrika, satu benua yang penuh dengan bakat.”

Kini setelah 50 tahun penubuhan, Hadiah Guru Global Yayasan Varkey memilih guru yang memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Pengasas Yayasan Varkey, Sunny Varkey berharap kisah Tabichi akan mendorong orang lain menceburi profesion perguruan dan memberi inspirasi dalam kerjaya guru yang mampu membentuk masa hadapan lebih cerah.

Pada tahun lalu, anugerah diberikan kepada guru seni dari utara London Andria Zafirakou.

Antara senarai kesepuluh teratas pada tahun ini ialah seorang guru penolong kanan dari Birmingham, Andrew Moffat, yang mencetus fenomena kerana memberi pendidikan LGBT kepada ibu bapa.

Kredit: The Guardian