PALU - Pemerintah wilayah Sulawesi Tengah (Sulteng) akan melaksanakan pelan pemindahan beberapa sekolah di kawasan yang dilanda likuifaksi ke daerah lain yang lebih selamat daripada bencana.

Ketua Bidang Pembinaan Sekolah Menengah Vokasional Pejabat Pendidikan dan Kebudayaan, Wilayah Sulteng, Hatijah Yahya berkata, pelan pemindahan sekolah terbabit antara lain melibatkan dua sekolah sekolah menengah vokasional negeri dan lima sekolah menengah vokasional swasta di bandar Palu dan Kabupaten Sigi.

Antara sekolah yang akan dipindahkan termasuklah, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Negeri 8 Palu , SMV Negeri 1 Sigi , SMV Justitia Palu, SMV Islamic Center Palu, SMV PGRI Palu, SMV Janur Persada Sigi dan SMV Muhammadiyah Marawola Sigi.

"Kita telah mempunyai lokasi baharu dan hanya menunggu arahan pembinaan oleh pemerintah," kata Hatijah.

Seorang pelajar berjalan di depan bangunan sekolah yang rosak.
 

Menurutnya lagi, sekolah yang berada dalam zon merah likuifaksi, musnah teruk akibat gempa yang menggegar wilayah Sulteng pada 28 September lalu.

Menurut data Badan Nasional Pengurusan Bencara (BNPB), sejumlah 2,736 bangunan sekolah di Palu, Donggala dan Kabupaten Sigi, rosak akibat bencana gempa dan tsunami terbabit.

Bagi pelajar yang sekolah mereka mengalami kerosakan kecil dan sederhana, proses pembelajaran masih boleh diteruskan di sekolah masing-masing, namun untuk bangunan sekolah yang rosak teruk, pembelajaran dijalankan di khemah sementara pemberian kerajaan dan agensi bantuan seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef).