LAMONGAN - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun sanggup mengorbankan zaman persekolahannya demi menjaga ibu yang lumpuh.

Lapor media tempatan, budak lelaki dikenal sebagai Ardiyansyah dari Dusun Kedung, Desa Kandangrejo, Kecamatan Kedungpring itu telah menjaga ibunya, Fitri Wulandari yang terlantar sakit sejak lima tahun lalu.

"Saya tidak sanggup meninggalkan ibu sendirian di rumah kerana ibu tidak boleh bangun untuk mengambil makanan atau minuman kerana lumpuh," katanya.

Difahamkan, Ardiyansyah sebelum ini bersekolah di Sekolah Rendah Kandangrejo namun di semester terakhir dia mula memberi sepenuh perhatian terhadap ibunya.

"Dulu saya sempat bersekolah dan setiap kali waktu rehat saya akan pulang sebentar ke rumah untuk memberi ibu makan," katanya.

Sementara itu, bapanya Puryanto, 38, perlu bekerja keras bagi memastikan keluarganya tidak kebuluran kerana hanya bekerja sebagai buruh kasar

"Saya tidak mampu untuk membawa isteri ke hospital untuk dirawat kerana sudah kehabisan wang.

"Sebelum ini, saya menjual beberapa ekor kambing untuk membeli ubat, namun masih tiada perubahan," katanya.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Beramal dengan Ikhlas (Berkas) menyalurkan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada keluarga terbabit.

NGO itu juga berharap agar Ardiyansyah menyambung semula persekolahannya.

"Kami berharap Ardiyansyah melanjutkan persekolahan demi masa depannya. Kami akan belikan dia basikal untuk memudahkan dia pulang sebentar setiap kali waktu rehat untuk menjenguk ibunya," kata wakil Berkas, Bripka Purnomo.