KISAH kanak-kanak paling berat yang tercatat dalam sejarah Indonesia, Ayra Permana memang menjadi perbualan hangat. Obesitinya sangat menakutkan apabila sudah tidak mampu duduk di atas kerusi.

Bukan sahaja media tempatan malah antarabangsa hadir membuat liputan kerana kegemukan terlampaunya.

Berdasarkan penulisan Tribun News, ketika Ayra berusia 10 tahun, beliau telah dinobatkan sebagai kanak-kanak paling gemuk di dunia apabila mempunyai berat badan 192 kilogram (kg).

Katakan apa sahaja, ejeken, kata-kata memerli dan dipulaukan rakan sebaya sudah tidak mampu dielakkan kanak-kanak dari Jawa Barat itu.

Namun, itu cerita dahulu, beliau yang kini berusia 13 tahun berjaya menurunkan berat badannya kepada 92kg.

Satu keajaiban, bukan? Apakah cerita di sebalik masalah obesiti yang dihadapi oleh kanak-kanak itu? Apa motivasi yang menyuntik dirinya untuk kurus?.

Dalam satu temu bual, ibu Ayra, Rokayah Soemantri berkata, anaknya semasa kecil tidak mempunyai masalah berat badan langsung.

Kanak-kanak itu juga dilahirkan secara normal dengan berat sekitar 3.8kg sahaja.

Pun demikian, pada usia lima tahun, Ayra mula menunjukkan perubahan apabila selera makannya semakin bertambah.

Suami Rokayah, Ade Soemantri Kusumah berkata, ketika berusia lapan hingga 10 tahun, berat anak mereka telah meningkat kepada 72kg.

“Ayra akan makan sebanyak empat kali sehari. Dia mampu menghabiskan makanan yang disediakan untuk dua orang lelaki dewasa. Saya terpaksa gantikan nasi dengan mee segera dan beras perang untuk memenuhi selera Ayra,” luah Ade Soemantri kepada Tribun News.

Lantaran memiliki fizikal tubuh yang cukup besar, Ayra sukar untuk tidur.

Selama tempoh berjaga iaitu dalam masa 24 jam, Ayra mampu menghabiskan 20 gelas air oren!

Berhenti sekolah

Disebabkan masalah obesiti, Ayra terpaksa berhenti sekolah.

Mana mungkin untuknya pergi ke sekolah ekoran pergerakan fizikalnya yang amat terhad. Ayra juga cepat letih, sering berasa lapar dan sukar untuk bernafas.

Dunia kanak-kanak Ayra bagaikan dirampas. Berat badannya itu membuatkan beliau hanya boleh berjalan sejauh 30 meter sahaja. Beliau juga mengalami kesukaran berdiri, berjalan dan berpakaian.

Melihat kesulitan anaknya itu, Ade Soemantri mengambil keputusan untuk membawa Ayra mendapatkan rawatan di Hospital Omni pada bulan Jun 2017.

Kes Ayra kemudiannya dirujuk di Hospital Hasan Sadikin (RSHS), Kota Bandung.

Pihak hospital telah menggerakkan satu pasukan perubatan yang terdiri daripada 13 doktor dalam bidang berlainan bagi merawat Ayra.

Setelah dikenal pasti puncanya, Ketua Pasukan Doktor RSHS, Dr Julistyo menyatakan punca Ayra gemuk disebabkan oleh sistem lapar dan kenyangnya yang tidak seimbang.

Ia berlaku sama ada gangguan genetik, tingkah laku atau disebabkan oleh sindrom Prader-Willi iaitu sindrom tidak boleh berhenti makan.

Pihak hospital telah memberikan rawatan pembedahan pintasan usus perut bagi memendekkan usus Ayra.

Dengan bantuan Pakar Nutrisi, Ade Rai, berat badan Ayra jatuh mendadak daripada 192kg kepada 97kg tiga bulan selepas pembedahan dijalankan.

Penurunan berat itu juga dibantu oleh diet yang ketat yang diamalkan oleh Ayra.

Kanak-kanak itu juga tidak dibenarkan mengambil makanan berminyak dan manis. Ayra juga perlu aktif bersukan.

Beliau tidak lagi meminta minuman manis dan hanya buah-buahan dan sayur-sayuran.

Akhirnya, seperti yang diimpikan, Ayra kembali bersekolah dan dikatakan aktif dengan sukan bola sepak.

Siapa sangka amalan gaya hidup sihat yang dijalani membuatkan anak muda itu bercita-cita ingin menjadi pemain bola sepak seperti penyerang dunia dari Brazil, Roberto Firmino.

MAKIN KURUS..Ayra kini aktif bermain sukan bola.