Seramai 28 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim, di sini cedera ringan selepas terkena serpihan siling blok B dan C yang tercabut akibat ribut yang berlaku dalam kejadian pada 10 pagi tadi.

Timbalan Menteri pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kejadian yang berlaku ketika waktu rehat itu mengakibatkan mangsa di empat bilik darjah di tingkat teratas bangunan yang terdiri daripada murid Tahun Dua dan Tahun Lima itu dihantar ke Hospital Melaka dan Klinik Kesihatan Tengkera untuk rawatan selanjutnya.

"Enam murid menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital manakala 22 murid lagi menerima rawatan di klinik kesihatan. Murid-murid lain dibenarkan balik ke rumah masing-masing dan mereka berada dalam keadaan stabil.

"Pihak Jabatan pendidikan Negeri Melaka telah memaklumkan bahawa setakat ini keputusan awal adalah kita memberikan cuti dua hari kepada murid-murid sekolah ini iaitu hari ini dan esok. Selain itu, kita akan mengkaji keperluan sama ada cuti (dilanjutkan) atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di SJKC Malim di sini hari ini.

Turut melawat lokasi kejadian ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali, Pengarah pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Obaidat Mohamad.

Mah berkata Kementerian Pendidikan akan menyegerakan peruntukan kecemasan bagi membaik pulih kerosakan yang berlaku selain meluluskan serta-merta permohonan SJKC Malim yang dikemukakan sebelum ini, berjumlah RM105,000 membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.

"Saya ada berjumpa dengan Ketua Menteri dan beliau memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri juga akan membantu membaik pulih sekolah ini dengan menggunakan peruntukan tabung bencana,” katanya.

Ketika kejadian berlaku, seramai 830 murid SJKC Malim, sekolah yang berusia 82 tahun, sedang makan dan berada di dalam kelas pada waktu rehat sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Abu Obaidat berkata pihaknya menerima 36 panggilan kecemasan melibatkan kejadian ribut yang melanda negeri itu khususnya di kawasan bandar, pagi tadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, JBPM Melaka bertindak ke atas lapan kes yang dilaporkan kerana ia melibatkan mangsa khususnya di sekitar kawasan Malim, Taman Merdeka dan Cheng termasuk kejadian ribut di SJKC Malim yang pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.17 pagi.

"Kebanyakan mangsa terlibat mengalami kecederaan ringan dan ada juga yang tidak mengalami kecederaan selain terdapat mangsa yang trauma terutama murid sekolah terlibat," katanya.

Abu Obaidat berkata pihak pengurusan sekolah terlibat telah dinasihatkan tidak menggunakan blok bangunan sekolah yang terjejas akibat bumbung diterbangkan ribut demi keselamatan warga sekolah khususnya murid.

Katanya pemotongan sementara bekalan elektrik melibatkan bangunan terjejas telah dilakukan dan siasatan lanjut akan dibuat melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya dan JBPM Melaka.

Terdahulu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kenderaan pasukan keselamatan termasuk bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lebih 10 ambulans berada di sekitar kawasan sekolah. - BERNAMA