Mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Professor Datuk Ir Dr Mohd Jailani Mohd Nor Jailani berkongsi lima langkah mudah untuk diamalkan orang ramai bagi menangani tekanan sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Langkah pertama, katanya, semua rakyat perlu perbanyakkan doa.

“Langkah ini terbukti berkesan berdasarkan pengalaman sebenar yang telah dilalui sebelum ini.

“Ketika itu, saya dan rakan terkandas di Lapangan Terbang Attarturk, Istanbul, Turki ekoran berdepan situasi genting berkenaan cubaan rampasan kuasa Negara pada 2016 yang lalu.

“Dalam keadaan sebegitu, tiada perkara lain yang kami fikirkan kecuali berserah kepada Allah dan berdoa tanpa henti. Syukur alhamdullilah, akhirnya kami semua dapat pulang ke Malaysia dengan selamat,” ujarnya.

Bagi langkah kedua, beliau berkata, masyarakat perlu mengamalkan kaedah menarik nafas.

“Tarik nafas secara dalam dan perlahan mengikut hidung kemudiannya lepas nafas menerusi mulut dan dilakukan secara ulangan sebanyak sekurang-kurangnya tiga kali,” kata beliau.

Langkah ketiga pula, melakukan kaedah pernafasan bersama wayang minda yang mana kita menarik nafas sambil membanyangkan udara bersih yang disedut manakala sewaktu melepaskan nafas pula kita bayangkan segenap aura dan pemikiran negatif keluar dari tubuh badan masing-masing.

Seterusnya, langkah keempat diikuti dengan amalan inkantasi (mantera minda), yang mana kita ucapkan kepada diri ungkapan yang positif dan memberi semangat.

Sebagai contoh katakan ‘semua ini hanya sementara, ianya datang dan suatu hari nanti ia akan lenyap selepas ini’.

Langkah kelima iaitu yang terakhir, kata beliau, ia dikenali sebagai 'kepekaan diri'.

“Kaedahnya adalah memerhati dalam diri sendiri sambil memerhati apa yang sedang kita rasa tanpa menghakimi atau menilainya dan akhirnya, permasalahan itu akan hilang jua,” ujarnya.

Terdahulu, perkongsian itu telah diadakan menerusi ceramah atas talian anjuran Bahagian Pembangunan Bakat, Pejabat Pendaftar, UTeM, baru-baru ini.

*****Dr Jailani kini menjalankan tugas sebagai Pengarah Pusat Pengurusan Penjanaan Pendapatan, Pejabat Bendahari, UTeM.

Artikel menarik

Luahan hati seorang guru, buat warganet sebak. Moga urusan semua cikgu, dipermudahkan!

Sanggup redah hujan dan banjir, kerani sekolah hantar bahan PdPR pelajar tiada internet