Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bangunkan produk inovasi sendiri yang memberi manfaat kepada sektor perindustrian dan juga komuniti masyarakat dunia.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara produk yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik UTeM itu adalah Alternatif Plastik Organik (APO) atau lebih dikenali sebagai Organic Plastic Alternative (OPA).

Jelas beliau, produk tersebut mempunyai keunikan tersendiri, kerana ianya berasaskan daripada minyak masak terpakai yang digunakan semula menjadi produk bermanfaat.

Kumpulan penyelidik produk inovasi APO sewaktu menerima pingat. kemenangan sewaktu penyertaan pertandingan inovasi pada tahun 2019 lalu.

Katanya, produk inovasi tersebut jauh lebih baik berbanding produk plastik sedia ada yang dihasilkan daripada polimer, berasaskan minyak petroleum mentah yang sangat toksik dan merbahaya.

Menurut Dr Hafidzal, mereka memilih untuk membangunkan APO berdasarkan faktor untuk menjaga kelestarian dan ekosistem alam sekitar dengan penggunaan semula minyak masak terpakai.

“Langkah ini dapat mengurangkan kesan sisa minyak terhadap saliran air yang boleh menyebabkan pencemaran dan gangguan bekalan oksigen terhadap kehidupan akuatik,” ujarnya.

Produk inovasi APO berasaskan daripada minyak masak terpakai yang digunakan semula menjadi produk bermanfaat.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzal menyatakan minyak masak terpakai akan dicampurkan bersama bahan organik dan juga penghablur untuk menjadikan produk tersebut bersifat seperti plastik.

Katanya, bahan yang digunakan itu juga adalah daripada bahan-bahan organik minyak masak terpakai yang dirawat dan digunakan semula.

APO dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik UTeM yang diketuai oleh Dr Mohd Hafidzal Mohd Hanafi yang merupakan Penyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UteM bersama sekumpulan pensyarah, iaitu FKM Nurul Hanim Razak, Ts. Dr Asriana Ibrahim, Dr Nur Izyan Zulkafli dan Prof Madya Ir. Ts. Dr Mohd Rizal Alkahari.

Turut terlibat, dua lagi pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) iaitu Dr. Ridhwan Jumaidin dan Dr. Mohd Taufik Taib serta empat  orang penuntut FKM, Nurin Aina Syafiqah Shahrum, Farah Farzana Adrizal, Anis Ainaa Omar dan Nurul Afwanisa Ab Razak.

Dr Hafidzal berkata, APO menyumbangkan manfaat secara langsung kepada masyarakat dan alam sekitar, selain menjadi alternatif kepada filament 3D printing.

"Penyelidikan produk inovasi APO ini telah bermula pada tahun 2013 sehingga kini, menerusi geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) dari UTeM dan geran FRGS daripada KPT.

“Kami turut merangka proses kolaborasi dengan Perbadan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di samping memperluaskannya dalam sektor industri percetakan 3D kerana kos produk ini adalah rendah dan efektif,” ujarnya lagi.

Kumpulan penyelidik APO turut merangka kerjasama bersama dengan organisasi lain

Mengulas mengenai kejayaan yang telah dikecapi menerusi produk APO, Dr Hafidzal berkata, banyak kemenangan pernah dicapai sepanjang penyertaan mereka dalam pertandingan produk inovasi,  sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Katanya, produk inovasi tersebut pernah memenangi pingat emas dalam Apprentice Innovation & Research Exhibition (AIREX) 2020, manakala empat pingat perak  lagi diperoleh menerusi Karnival Inovasi UTeMEX 2020, International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2020, Ekspo Maya Rekacipta dan Pameran Penyelidikan (EREKA) 2020 dan Anugerah Hijau Melaka 2019.