Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus berinisiatif tinggi membangunkan produk inovasi yang memberi manfaat kepada sektor perindustrian dan juga komuniti masyarakat dunia.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara produk yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik UTeM adalah Alternatif Plastik Organik (APO) atau turut dikenali sebagai Organic Plastic Alternative (OPA).

Menurutnya, produk tersebut mempunyai keunikan tersendiri kerana ianya berasaskan daripada minyak masak terpakai yang digunakan semula menjadi produk bermanfaat.

“Produk inovasi ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan produk plastik sedia ada yang dihasilkan daripada polimer berasal daripada minyak petroleum mentah yang sangat toksik dan merbahaya,” katanya.

APO dibangunkan sekumpulan penyelidik UTeM yang diketuai Penyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UTeM, Dr Mohd Hafidzal Mohd Hanafi.

Selain beliau, empat pensyarah FKM lain turut menyumbang tenaga iaitu Nurul Hanim Razak, Ts. Dr. Asriana Ibrahim, Dr Nur Izyan Zulkafli dan Prof Madya Ir. Ts. Dr Mohd Rizal Alkahari.

Seterusnya, dua pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) iaitu Dr Ridhwan Jumaidin dan Dr Mohd Taufik Taib serta empat penuntut FKM iaitu Nurin Aina Syafiqah Shahrum, Farah Farzana Adrizal, Anis Ainaa Omar dan Nurul Afwanisa Ab Razak juga bersama-sama membangunkan inovasi berkenaan.

Produk inovasi APO berasaskan daripada minyak masak terpakai yang digunakan semula menjadi produk bermanfaat.

Mengurangkan sisa minyak

Menurut Dr Mohd Hafidzal, mereka memilih untuk membangunkan APO ini berdasarkan faktor ingin bersama menjaga kelestarian dan ekosistem alam sekitar dengan penggunaan semula minyak masak terpakai.

“Langkah ini dapat mengurangkan kesan sisa minyak terhadap saliran air yang boleh menyebabkan pencemaran permukaan air serta gangguan bekalan oksigen terhadap hidupan akuatik,” ujarnya.

Mengulas mengenai bagaimana APO ini berfungsi, Dr Hafidzal menyatakan minyak masak terpakai akan dicampurkan bersama bahan organik dan juga penghablur untuk menjadikan produk bersifat seperti plastik.

Katanya, bahan yang digunakan sepenuhnya adalah bahan-bahan organik minyak masak terpakai yang dirawat dan digunakan semula serta ianya mesra alam di samping serta menggunakan konsep kitar semula mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Dr Hafidzal berkata, APO menyumbangkan manfaat secara langsung kepada masyarakat dan alam sekitar lalu mereka menyasarkan produk ini boleh menjadi alternatif kepada filament 3D printing yang mana menggunakan bahan yang berbeza dengan yang sedia ada iaitu minyak masak terpakai.

Kumpulan penyelidik produk inovasi APO sewaktu menerima pingat kemenangan sewaktu penyertaan pertandingan inovasi pada tahun 2019 lalu.

"Penyelidikan produk inovasi APO ini telah bermula pada tahun 2013 sehingga kini menerusi geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) dari UTeM dan geran FRGS dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) manakala proses penyelidikan untuk meningkatkan keupayan dan potensi produk ini terus giat dijalankan.

“Kami turut merangka proses kolaborasi dengan Perbadan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di samping memperluaskannya dalam sektor industri percetakan 3D kerana kos produk ini adalah rendah dan efektif,” ujarnya lagi.

Berkongsi mengenai kejayaan yang telah dikecapi menerusi produk APO, Dr Hafidzal berkata, banyak kemenangan telah dicapai sepanjang penyertaan mereka dalam pertandingan produk inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya, produk inovasi APO pernah memenangi pingat emas dalam Apprentice Innovation & Research Exhibition (AIREX) 2020, manakala 4 pingat perak dalam Karnival Inovasi UTeMEX 2020, International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2020, Ekspo Maya Rekacipta dan Pameran Penyelidikan (EREKA) 2020 dan Anugerah Hijau Melaka 2019.

Artikel menarik

SK Taman Bukit Indah raih gelaran Sekolah Impak Terbesar Tahun 2019-2020. Ini rahsianya!

Guru ini ulas pelaksanaan PdPR, tak sangka ini idea yang beliau cadangkan. Terbaik cikgu!