MERLIMAU – Kumpulan pensyarah Jabatan Perdagangan, Politeknik Merlimau (PMM) berjaya membuktikan yang inovasi dihasilkan mereka mampu menjulang nama PMM.

Ini dibuktikan apabila inovasi Aplikasi Blippar Dalam Menjana Formula Matematik yang dianggotai oleh Norhazma Nafi, Samsinor Ibrahim, Faezah Kamisan berjaya meraih pingat perak pada International Multidisciplinary Innovation Competition (IMIC) 2021 yang berlangsung secara dalam talian, baru-baru ini.

Manakala inovasi Reflexthou:Meningkatkan KeyakinanDiri Dalam Pembentangan dianggotai Nurol Aleyzan Ghazali, Hanim Paimin dan Norwidayati [email protected] juga turut menerima pingat perak pada pertandingan yang sama.

Nurol Aleyzan semasa pembentangan projek inovasi yang boleh disaksikan menerusi Youtube.

Bagi inovasi Innovation of Teaching and Learning on Outcome Based Education for Organizational Behaviour yang dihasilkan Sabariah Abd Rahman pula, telah menarik perhatian juri untuk merangkul pingat gangsa.

Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal berkata, budaya inovasi sudah sinonim dalam diri para pensyarah PMM kerana ia merupakan salah satu elemen Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di politeknik sejak sekian lama.

“Malah, pada setiap semester, PMM menganjurkan Hari Inovasi pada peringkat jabatan dan politeknik bagi meraikan idea dan kreativiti pensyarah dan pelajar dalam bidang masing-masing sehinggakan telah ada produk inovasi yang dipasarkan kepada orang awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pensyarah Nurol Aleyzan berkata, kejayaan inovasi Reflexthou: Meningkatkan Keyakinan Diri Dalam Pembentangan adalah hasil usaha keras semua ahli kumpulan dan sokongan daripada pihak berkaitan.

“Inovasi Reflexthou ini amat diperlukan oleh pelajar sebagai satu kaedah meningkatkan prestasi pembentangan, memotivasikan diri dan mengukuhkan kemahiran komunikasi terutamanya komunikasi semasa pembentangan.

“Saya sendiri sebagai pensyarah pada ketika dahulu juga merasai bagaimana gementarnya apabila ingin berbicara di hadapan, justeru, dengan adanya idea inovasi ini, diharapkan dapat membantu mereka membentuk dan mengekalkan personaliti diri yang lebih berketerampilan walaupun di luar bilik kuliah,” ujarnya.

Selain kemenangan pingat, inovasi Aplikasi Blippar Dalam Menjana Formula Matematik turut mendapat tempat ke-10 terbaik bagi kategori Best Extended Abstract dan tempat ke-15 Most-liked video presentation on Youtube.

Manakala Reflexthou:  Meningkatkan Keyakinan Diri Dalam Pembentangan pula mendapat tempat kesembilan Most-liked video presentation on Youtube.

Majlis pengumuman kemenangan telah dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang https://imicaidconference.weebly.com/