Guru adalah frontliners atau bari-san hadapan yang bertanggungjawab memerangi Covid-19 dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

Elmy Azizan (tiga dari kanan) bersama sebahagian guru SMK Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan, Elmy Azizan Abdul Aziz berkata, kekhuatiran guru adakalanya tidak dapat disembunyikan, namun peranan pengetualah yang dapat meyakinkan mereka bahawa tugas mulia itu akan dilindungi ALLAH.

“Biarpun tidak dilengkapi personal protective equipment (PPE), namun golongan pendidik ini tetap cekap mengurus pelajar agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Tugas guru amat luas, mereka menghayati tugas perguruan ini dengan sepenuh hati. Menyentuh tentang perihal pelajar, empati mereka sangatlah tinggi. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, asalkan 551 orang pelajar kami berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Elmy Azizan Abdul Aziz

Menurutnya, SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersifat komprehensif, melibatkan peranan bukan sahaja guru dan pentadbir sekolah, malah ibu bapa dan masyarakat.

Kesepakatan pelbagai pihak itu amat perlu dalam memastikan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

Pun begitu, peranan ibu bapa itu sebenarnya lebih dominan. Tanggungjawab mereka lebih besar bagi memastikan anak-anak mematuhi SOP sentiasa.

“Pematuhan SOP tidak hanya di sekolah, sebaliknya ia harus diamalkan juga ketika berada di luar. Kita tidak boleh rasa selesa berada di kawasan ‘hijau’. Selitkan seberapa banyak kegusaran, kerana pandemik ganas ini tidak boleh ‘diimbas’ dengan mata kasar,” ujarnya.

Meja pelajar disusun mengikut jarak yang ditetapkan SOP

Tambah Elmy Azizan, norma baharu yang diamalkan di sekolah sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar, malah pekerja pembersihan, pengawal keselamatan, pekerja koperasi sekolah, dan pekerja kantin turut mematuhi SOP.

Makan di dalam kelas bagi mengelakkan kesesakan berlaku di kantin sekolah.

“Pada peringkat awal pelaksanaan, pergerakan di dalam kelas agak ‘kaku’ kerana pelajar belum lagi terbiasa. Apabila mereka mula jelas dan faham, barulah keadaan kembali pulih seperti sedia-kala.

“Sekolah juga tidak mengalami sebarang masalah, sesi proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) berjalan seperti biasa. Pelajar masih boleh berinteraksi, berbincang, mengeluarkan pendapat dan seumpamanya, asalkan mereka masih berada dalam jarak fizikal yang selamat,”jelasnya.

Beliau berkata, kehadiran pelajar amat memberangsangkan biarpun terpaksa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan, sudah menjadi amalan biasa.

Usaha sekolah untuk memastikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat juga wajar untuk dihargai.

Pergerakan yang perlu seperti ke makmal Sains, tandas, kantin dan sebagainya sentiasa dipantau rapi oleh guru bagi memastikan para pelajar patuh SOP.

Tambah guru asal Johor itu, mesyuarat pengurusan sekolah turut diadakan bagi memastikan maklumat yang lengkap disampaikan kepada semua pihak terutamanya ibu bapa, penjaga dan pelajar.

Pelajar beratur, bergilir-gilir mengambil suhu sebelum masuk dalam pekarangan sekolah.

Sehingga kini, pematuhan SOP telah dibudayakan, sebarang ketidakpatuhan akan diambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya pelajar bergejala, mereka akan ditempatkan di bilik isolasi, ibu bapa akan dihubungi dan diberi masa untuk mengambil anak masing-masing. Kebiasaannya, ibu bapa atau penjaga akan segera hadir ke sekolah untuk mengambil anak mereka.

“Norma baharu bukan lagi menjurus kepada analogi ‘seseorang pelajar dianggap hebat jika masih hadir sekolah walau pun sakit,’ tetapi pelajar yang sakit wajib tidak hadir ke sekolah demi kebaikan semua. Kejujuran pelajar itu penting, kegagalan mereka ‘mengisytiharkan’ status kesihatan, akan menyebabkan yang lain akan dijangkiti,”katanya.