NILAI - UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) telah berkampung di Kunak, Sabah bermula 15 Ogos hingga 20 Ogos lalu dalam menjayakan program menyantuni masyarakat iaitu Projek Jelajah Sukarelawan USIM 2020.

Seramai 13 delegasi dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Almuni di ketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Dr Rushdan Mohd Jailani bersama-sama tiga ahli Gap Year 3.0 dan empat ahli MyFundAction Sabah yang turut serta dalam usaha menyantuni penduduk kampung di kawasan Semporna Sabah, Kampung Tanjung Keramat Semporna dan warga pendidik dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Madai.

Menjadikan program lebih bermakna, USIM melalui usaha peserta Gap Year 3.0 dan MyFundAction Sabah telah memberi sumbangan berbentuk sebuah pondok bas kepada SK Madai.

Ia bertujuan untuk kemudahan dan kegunaan murid memandangkan pondok hentian bas sedia ada tidak mencukupi bagi menampung lebih 400 murid.

Sementara itu, Prof Dr Mohd Rushdan yang menyampaikan simbolik penyerahan sumbangan pondok hentian bas tambahan kepada SK Madai berkata, kecemerlangan sesebuah universiti bukanlah terletak pada kecemerlangan akademik semata-mata namun boleh dinilai sejauh mana universiti mampu memberikan manfaat dan kebaikan kepada komuniti dan warga kampus.

"USIM bersama Gap Year 3.0 dan badan sukarelawan, MyFundAction 2020 Sabah dari golongan belia namun mempunyai semangat tinggi dan mempunyai kepekaan untuk membantu masyarakat khususnya yang kurang berkemampuan.

"Ia memberi impak yang baik kepada perubahan dan dan pembangunan masyarakat setempat," katanya pada Majlis bersama warga SK Madai.

Selain mengusahakan sumbangan pondok hentian bas, Gap Year 3.0 turut mengagihkan Kotak Rezeki Ummat berupa makanan asas yang diberikan kepada 15 buah keluarga dari golongan asnaf dan memerlukan.

Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik telah diatur oleh Sanggar Ilmu di sekolah berkenaan.

Dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Dr Syaza Azhari, antara aktiviti yang berlangsung adalah demonstrasi penghasilan hand sanitizer dan produk FST shrink art.

Murid-murid juga diberi taklimat pencegahan Covid-19 manakala Sanggar Terapi berbentuk program motivasi disampaikan Pegawai Psikologi USIM, Tuan Ameer Tuan Ismail.

Program bersifat motivasi dan akademik dalam Projek Jelajah Sukarelawan USIM 2020 mendapat sambutan baik dari penduduk setempat dengan pelbagai pengisian lain antaranya Sanggar Sukan (Pertandingan Street Soccer dan Sukaneka Kanak-kanak), Sanggar Sihat (Tunjuk Ajar Berus Gigi, Seminar Keluarga, Kuiz Seminar), Program Santunan Amal di Pantai Ampilan, Kunak, Sanggar Bakti (Gotong-Royong Kampung Madai) dan aktiviti pendakian Gua Madai.

Antara delegasi USIM di Kunak, Sabah.

Peserta projek Jelajah Sukarelawan USIM 2020 bersama penduduk kampung baru-baru ini.

Tip lain:

71 kesalahan mudah dalam Matematik sekolah rendah. Panduan ibu bapa dan guru

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi