KUALA LIPIS - Kejayaan abang sulung mendorong seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lipis belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Aina Najwa Rosli, 18, yang mengambil aliran Sains Tulen memperoleh keputusan cemerlang 3A+, 3A dan 3A- berhasrat mengikut jejak langkah abangnya untuk bergelar seorang doktor.

Dia juga berharap dapat menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan di Universiti Malaya.

“Abang sulung saya, Muhammad Syafiq Rosli seorang doktor di sebuah hospital di Semporna, Sabah dan saya harap dapat ikut jejak langkah dia.

“Jadi, saya belajar bersungguh-sungguh untuk buktikan kepada keluarga, saya juga mampu mencapai cita-cita,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM di SMK Seri Lipis di sini, semalam.

Hadir mengumumkan keputusan berkenaan, Pengetua SMK Seri Lipis, Hamdan Harun.

Aina Najwa berkata, keputusan cemerlang itu merupakan hadiah istimewa buat kedua orang tuanya sekali gus berharap dapat membalas jasa bapa, Rosli Kecik seorang pesara tentera dan ibu, Norjihan Udin.

Anak keempat dari lima beradik itu berkata, program kerohanian yang sering dianjurkan pihak sekolah juag antara resipi kejayaannya hingga mampu memperoleh keputusan cemerlang.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih atas bantuan dan kerjasama yang diberikan guru serta barisan pentadbiran sekolah kerana menganjurkan pelbagai program untuk membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.