PARIT BUNTAR - Misteri kehilangan seorang pelajar lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak  enam hari lalu terungkai apabila dia ditemui dalam keadaan  lemah dan kebingungan di sebatang jalan ban berhampiran Kampung Perak, di sini, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Ariff Ahmad Sazali,18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh sebelum ini dilaporkan hilang setelah tidak pulang seharian selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Taman Bahagia, Jalan Terusan di sini, 14 Februari lalu.

Bapa mangsa, Ahmad Sazali Ishak, 47, berkata, anak keduanya  ditemui seorang guru yang sedang melalui jalan ban menghubungkan  Taman Murni dan Kampung  Perak pada jam 4.55 petang semalam.

Menurutnya, guru itu memaklumkan anaknya berjalan berseorangan dalam keadaan lemah dan  kebingungan ketika dihampiri keretanya.

“Apabila anak saya memaklumkan alamat rumah kami, guru itu terus menghantarkannya kepada  kami.

“Sewaktu tiba di rumah, keadaan Muhammad Ariff amat lemah dan dia kelihatan sangat lapar sehinggakan mampu menghabiskan dua pinggan nasi apabila disajikan makanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini,  semalam.

Ahmad Sazali berkata, anaknya kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar pada jam 7 malam bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Kepulangan Muhammad Ariff ke rumah turut disambut sanak-saudara  dan orang ramai yang sebelum ini bertungkus-lumus membantu mencarinya sejak beberapa hari lalu.

“Kami mengucapkan syukur kepada ALLAH SWT di atas kepulangan anak saya dan sangat berterima kasih kepada semua pihak  yang berusaha membantu menjejaki Muhammad Ariff sejak hari pertama dia hilang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar  Bakhtiar Yaacob sewaktu dihubungi mengesahkan penemuan semula  Muhammad Ariff.