IPOH - Didikan ilmu agama perlu diterapkan kepada golongan muda sejak dari awal usia semoga segala didikan yang diterima mampu membentuk sikap serta keperibadian belia itu sendiri.

Penerapan ilmu agama itu dilihat sebagai aspek paling penting dalam usaha membentuk golongan belia Islam yang dinamik.

Demikian pendapat daripada guru al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang juga bilal Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Taman Tasek Jaya, Mohamad Hamdani Ahmad Puzi, 26 berhubung isu golongan belia khususnya melibatkan belia Islam di negara ini.

Menurut Mohamad Hamdani, didikan ilmu agama sememangnya perlu menjadi teras utama dalam soal pendidikan sejak dari awal usia agar ia mampu membentuk sikap serta keperibadian belia.

“Golongan belia khususnya belia Islam perlu sekurang-kurangnya memiliki asas dalam ilmu agama kerana ia adalah elemen terpenting bagi mengharungi cabaran dunia hari ini.

“Bagaimanapun golongan belia hari ini dilihat agak kurang mendalami ilmu agama ini dan sebaliknya lebih cenderung terlibat dengan keseronokan dunia.

“Oleh itu, di sinilah ibu bapa keluarga termasuk masyarakat guru-guru berperanan untuk mengajarkan ilmu agama ini kepada golongan belia ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Pernah rakam album berzanji

Tambah Mohamad Hamdani, golongan belia hari ini dilihat kurang berminat dalam bidang  keagamaan tetapi sebaliknya lebih berminat dalam bidang lain seperti hiburan dan sebagainya.

Malah katanya, golongan belia dilihat lebih tertarik menceburi bidang berkenaan berikutan pendapatan yang lumayan yang diperoleh.

“Golongan belia hari ini lebih berminat pada hiburan disebabkan pendapatannya yang  agak lumayan.

“Bagaimanapun bagi saya dengan melibatkan dengan didikan agama ini kita akan menjadi lebih dekat untuk mendalami agama,” katanya.

Mengimbas penglibatannya dalam bidang didikan agama ini, Mohamad Hamdani berkata, segalanya bermula apabila dia banyak menyertai Tilawah al-Quran sejak di sekolah rendah lagi sehingga ke peringkat daerah.

Katanya, penyertaannya dalam program tilawah al-Quran itu secara tidak langsung memperlihatkan kelebihan yang dimilikinya terutama dari segi suara untuk diketengahkan.

“Ayah saya yang juga seorang pendakwah bebas, ustaz Ahmad Puzi kemudiannya telah nampak ‘kelebihan suara’ yang ada pada saya.

“Dia kemudiannya telah mendidik saya.  Kalau nak tahu, saya pernah sertai kumpulan berzanji di Kampung Pasir Putih pada 2005 dan ada rakamkan album berzanji dengan nama kumpulan Ahmadani.

“Lagipun datuk sebelah ibu saya adalah penyanyi radio sekitar 40-an dan 50-an lalu. Namanya Haji Abdul Aziz yang juga seorang pendakwah dan kemudiannya bertugas dengan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat),” katanya.

TAMBAH Mohamad Hamdani, biarpun menerima didikan serta asuhan ayahnya, ketika di sekolah menengah, dia hampir ‘terbabas’ gara-gara terikut-ikut dengan gaya hidup remaja seperti gemar melepak.

Bagaimanapun katanya, mujurlah ayahnya berjaya membawanya 'kembali' dengan menyertai Tilawah al-Quran  peringkat mukim Pengkalan pada 2011 dan 2012 lalu.

“Syukurlah saya kemudiannya muncul juara bagi dua tahun berturut-turut mulai  2011 dan 2012.

“Sejak itu saya mula serius untuk istiqamah dengan didikan agama yang saya  peroleh. Alhamdulillah kini saya bertugas  sebagai guru al-Quran di MAIPk selain menjadi bilal dan imam pelapis di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim).

“Saya juga sering dijemput sebagai imam jemputan di masjid-masjid sekitar  Perak. Kebanyakan jemputan saya  kebiasaannya dari masjid-masjid di Gerik,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya kenangan manis yang sukar dilupakannya, Mohamad Hamdani berkata, dia tidak dapat melupakan kenangan ketika keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi menyempurnakan perasmian Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim) Taman Tasek Jaya.

Katanya, sempena perasmian berkenaan dia diberikan tugas untuk melaungkan azan Zohor serta azan bagi menandakan masuk waktu solat Jumaat.

“Ketika perasmian masjid ini, saya  berpeluang melaungkan azan. Itulah kenangan manis dan kenangan pahit saya  adalah pada ketika saya gagal mengalunkan azan mengikut lagu atau nada suara sendiri," katanya.

 

PROFIL
Nama: Mohamad Hamdani Ahmad Puzi
Umur: 26 tahun
Tarikh lahir: 21 November 1993
Asal: Pasir Putih, Ipoh
Bilangan adik beradik: Anak
ketiga daripada enam beradik
Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Pasir Putih
Latar akademik: Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)
Status: Berkahwin (seorang anak perempuan, berusia tiga tahun)Profesion: Guru al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), bilal, imam pelapis di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina Muslim), imam jemputan
Hobi: Bermain badminton
Cita-cita: Juruterbang

Artikel lain:

'Rumah mama dekat kubur, senang nak ziarah'- 2 beradik yatim piatu pilih tinggal dengan ibu saudara

Pelajar SMK Kompleks KLIA juara dunia pertandingan robotik antarabangsa di Turki

Perjanjian keturunan Aki dengan tajau temui noktah..bahagian akhir tajau buat Ustaz Malik sebak