GOPENG - Kehilangan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong, Muar yang masih misteri mendorong pelbagai pihak meneruskan pencarian walaupun misi mencari telah ditamatkan.

Terbaharu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah memperluaskan pencarian ke lokasi baharu di dalam Gua Tempurung dalam usaha mengesan peserta Gopeng Ultra Trail (GUT), Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Ketua Zon 1 JBPM Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, kawasan pencarian dilakukan selepas gagal menemui sebarang petunjuk baharu di kesemua trek laluan termasuk di laluan balak berhampiran trek 100km di Hutan Simpan Bukit Kinta.

“Fokus kita adalah di kawasan sekitar Gua Tempurung dan pencarian pertama itu telah dilakukan hari ini (semalam) bagi tinjauan awal dan pemetaan.

“Esok kita akan bersama dengan pihak pengurusan Gua Tempurung bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan apabila terdapat laluan lain di belakang gua itu,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, operasi itu turut dibantu dua anggota polis bersenjata bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Keselamatan anggota turut dijaga apabila mereka berhadapan dengan haiwan berbisa antaranya ular kapak. Kawasan hutan simpan juga merupakan laluan binatang buas.

“Bagaimanapun, skop pencarian akan diperkecilkan mulai esok selama tiga hari bagi membantu memulihkan kembali anggota yang terlibat,” katanya.

Mohd Khairul berkata, pihaknya menerima hampir 100 panggilan setiap hari daripada orang awam yang menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan operasi ini.

“Kita mengalu-alukan keprihatinan orang awam dalam menyampaikan maklumat namun, lebih baik sekiranya mereka dapat hadir ke pos kawalan untuk salurkan maklumat dengan lebih tepat,” katanya.

Artikel berkaitan:

Misi mencari Acap temui jalan buntu..penganjur GUT henti operasi