IPOH - Dua calon istimewa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 berjaya membuktikan bahawa kecacatan bukanlah halangan utama untuk masing-masing mencapai kejayaan.

Bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Falah, Parit Tok Ngah Parit Buntar, Noor Asyikin Huda Mustafa, 18, kecacatan mata kirinya tidak pernah melemahkan azam serta semangatnya untuk mencatat keputusan cemerlang pada SPM kali ini.

Malah menurut anak kedua daripada tiga beradik itu menjadikan kekurangan dirinya itu sebagai pembakar semangat untuk menggandakan usaha bagi mengharungi SPM.

“Ada kalanya saya rasa patah semangat kerana rakan-rakan lain yang normal boleh berjaya. Mereka sempurna, tidak macam saya.

“Jika rakan-rakan lain boleh faham dengan mengulang kaji pelajaran selama tiga jam, tetapi saya kena berusaha lebih sikit.

“Tetapi kerana saya mahu banggakan ibu bapa saya, saya terus berusaha dan alhamdulillah, saya berjaya,” katanya yang meraih keputusan 6A, 2B, 1C.

Menurut bapanya, Mustafa Hanafiah, 52, kejayaan anaknya itu nyata ­membanggakan mereka sekeluarga.

“Sebagai bapa, sudah semestinya saya bangga dengan apa yang dicapai oleh anak perempuan saya ini.

“Insya-ALLAH, saya juga akan terus menyokongnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dan mencapai cita-citanya menjadi peguam,” katanya yang meraih keputusan 8A, 1D.

Dalam pada itu bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Ehyak Al-Diniah Islamiah Kampung Gajah, Muhammad Izhan Haikal Zaman Huri, 20, berkata, dirinya memang tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang pada SPM 2018.

“Alhamdulillah, saya rasa gembira kerana tidak menyangka memperolehi keputusan yang baik seperti ini.

“Memang nampak mustahil, orang macam saya berjaya, tetapi saya buktikan kecacatan bukan penghalang untuk jadikan seseorang itu berjaya,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Sementara itu Muhammad Izhan berkata, menjelang SPM dirinya hanya mengamalkan kaedah pembelajaran seperti biasa.

Menurutnya, dia juga tidak mengamalkan kaedah­pembelajaran yang menyusahkan selain membahagikan masa dengan sebaik-baiknya.

“Selepas ini saya merancang untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang kemahiran seperti di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

“Tetapi sebelum itu saya nak ambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) terlebih dahulu,” katanya.