IPOH - Enam buah sekolah di Perak dan empat buah sekolah di Kedah diarah tutup selama tujuh hari bermula esok berikutan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan guru dan pelajar di sekolah terlibat.

Sekolah yang terlibat di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) di Perak ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria memaklumkan, penutupan itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Ia bagi mengekang penularan wabak lebih-lebih lagi sekolah terlibat terletak berhampiran dengan sebuah pusat tahanan yang turut merekodkan jangkitan Covid-19.

"Apapun, kita minta ibu bapa dan penjaga supaya tidak panik dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak sekolah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, sebanyak 14 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah LMS dengan 10 daripada di Taiping manakala empat lagi di Selama.

Sementara itu di Kedah, empat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling dan SMK Bongor di Baling; SMK Bukit Payong dan sekolah Kebangsaan Bukit Pak Kiau di Pokok Sena.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah Ismail Othman berkata sekolah berkenaan ditutup kerana guru dan murid disahkan positif Covid-19.

"Penutupan sekolah itu bagi membolehkan saringan dilakukan ke atas semua guru dan murid yang menjadi kontak rapat kepada mereka yang telah dijangkiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sekolah terlibat akan melalui proses sanitasi atau nyah kuman bagi membendung penularan wabak itu.

Semalam, Kementerian Pendidikan memaklumkan, mana-mana sekolah yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup selama tujuh hari, tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan - BERNAMA