TELUK INTAN - Seorang guru bakal ber­depan hukuman penjara 110 tahun selepas diha­dapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Teluk Intan, semalam atas pertuduhan melakukan amang seksual dan mencabul kehormatan tiga muridnya.

Tertuduh, Mohamad Shafie Abdul Rani, 51, dituduh atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual dan mencabul kehormatan tiga murid lelaki Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Hitam sejak tujuh tahun lalu.

Mohamad Shafie menghadapi empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen terhadap kesalahan mencabul kehormatan ke atas dua murid berusia 11 tahun di tiga lokasi berbeza.

Bagaimanapun, Mohamad Shafie mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Mohamad Shafie dituduh melakukan empat kesalahan tersebut ke atas dua muridnya di SK Ayer Hitam, di sini, antara Mei 2018 hingga Januari tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca dengan Seksyen 16(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Mohamad Shafie turut menghadapi tiga pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang murid yang kini berusia 18 tahun.

Namun, Mohamad Shafie mengaku tidak bersalah sebaik dibacakan di hadapan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan antara tahun 2012 hingga 2013 melibatkan dua lokasi berbeza di mana dua dari­pada tiga pertuduhan dilakukan di Bilik Panitia Pen­didikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) SK Ayer Hitam dan Pusat Latihan Guru Dalam Per­khidmatan (PLGDP) Sungai Buluh, Hutan Melintang.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut bagi setiap pertuduhan Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nurul Hafizah Muhd Ariff dan tertuduh diwakili peguamnya.Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh