IPOH - Seorang guru mengalami kerugian RM75,000 selepas dua kereta miliknya dilarikan penjenayah dalam satu kejadian pecah rumah di RPT Batu 4, Tambun, semalam.

Kejadian itu disedari sekitar jam 4.30 pagi oleh mangsa berusia 58 tahun apabila melihat kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan kereta Peugeot 207 tidak berada di tempat letak kereta rumahnya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pemeriksaan yang dibuat juga mendapati, pintu pagar dan jeriji pintu  hadapan rumahnya telah terbuka luas.

“Mangsa juga mendapati kunci kedua-dua kenderaannya yang disangkut di dinding telah hilang.

“Pemeriksaan polis mendapati ada kesan umpil pada jeriji pintu rumah, namun tiada barangan berharga lain hilang,” katanya.

Menurutnya, suspek berkemungkinan masuk ke rumah itu untuk mengambil kunci kereta dan melarikannya.

“Mangsa yang tinggal bersendirian di rumah itu tidak menyedari kejadian itu kerana tidak mendengar sebarang bunyi penggera atau enjin kenderaan dihidupkan.

“Kita mendapati, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa dan tiada saksi bebas melihat kejadian itu,” katanya

Mohd Ali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kediaman.