GEORGETOWN - Kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri semakin serius apabila sebuah sekolah lagi ditutup.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phor Tay ditutup kelmarin, selepas enam kelasnya ditutup sebelum ini.

Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan tahap kebersihan fasiliti berada dalam keadaan baik.

“Walaupun peratusan kes meningkat 56.47 peratus berbanding tahun lalu, namun ia masih terkawal. Tidak perlu bimbang. Cuma kita perlu kerjasama ibu bapa atau penjaga supaya tidak membawa keluar anak mereka yang dijangkiti HFMD ke tempat awam,” katanya, semalam.

Beliau berkata, sehingga 28 Mei lalu, jumlah kes dilaporkan 21,644 berbanding 19,398 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sehingga 10 Julai, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang merekodkan 1,679 kes HFMD berbanding 1,073 kes pada tempoh sama tahun lalu. Sebanyak 63 kluster HFMD dilaporkan berbanding 11 kluster dilaporkan pada 2017.

"Ini menunjukkan peningkatan 472 peratus. Sehingga kini, hanya empat pesakit masih dirawat di hospital iaitu dua di Hospital Pulau Pinang dan dua di Hospital Seberang Jaya,” katanya.

Dua hari lalu, dua sekolah ditutup berikutan jangkitan penyakit HFMD.

SJKC Shih Chung dan Sekolah Antarabangsa Tenby diarahkan tutup sepenuhnya selepas jangkitan penyakit itu dikesan di kedua-dua sekolah terbabit.

Sementara itu, SJKC Chung San dan SJKC Sum Sun masih dipantau.