IPOH - Meskipun telah hampir seminggu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong, Muar, Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail dilaporkan hilang, ahli keluarga masih menaruh harapan tinggi, mangsa dapat ditemui dengan selamat.

Kakaknya, Siti Norizan, 36, berkata, keyakinan itu berdasarkan usaha tidak putus-putus pelbagai pihak yang membantu misi mencari dan menyelamat mangsa, sejak hari pertama kehilangannya dilaporkan.

Menurutnya, sokongan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban ditanggung keluarga sekali gus memberi semangat bahawa mangsa dapat diselamatkan.

“Moga dengan berkat doa semua rakyat Malaysia termasuklah mereka yang melakukan solat hajat, adik saya ini dapat ditemui secepat mungkin dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, ahli keluarga juga terharu dengan komitmen tinggi ditunjukkan pasukan penyelamat, pihak penganjur dan orang awam yang meneruskan usaha mencari walaupun hingga kini masih menemui jalan buntu.

“Kami benar-benar terharu melihat sokongan padu diberikan. Bagi pihak keluarga saya ucapkan berbanyak terima kasih atas usaha tidak putus asa mencari adik saya ini,” katanya.

Mohammad Ashraf yang bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25 km.

Kehilangan anak kelima daripada tujuh beradik itu dapat reaksi pelbagai pihak yang turut doakan usaha mencari dan menyelamat menemuinya dalam keadaan selamat.

Selain pasukan penyelamat, usaha mencari turut diikhtiarkan menerusi pengamal perubatan Islam. Penduduk kampung dan jemaah masjid juga melakukan solat hajat agar urusan operasi dipermudahkan.

Terdahulu, Polis Perak maklumkan, operasi mencari dan menyelamat yang sepatutnya ditamatkan semalam, dilanjutkan hingga Sabtu ini.

Ini pula saranan seorang ustaz yang juga Pengarah Darussyifa' , agar pihak keluarga membuat lima amalan ini https://www.gpsbestari.com/berita/perak/ada-kaitan-makhluk-halus-ustaz-ini-saran-lima-amalan-dilakukan-dalam-usaha-mencari-acap-1.924489