IPOH - Ibu kepada bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong Muar, Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang ketika menyertai larian itu, 23 Mac lalu  mendapat mimpi berkemungkinan anaknya berada di Gua Tempurung.

Perkara itu dikongsi abang kedua mangsa,  Mohd Zahiruddin, 35, yang  memaklumkan ibunya, Siti Maznah Khamis, 62, mendapat petunjuk menerusi mimpi sekitar dua hari lalu bahawa Mohammad Ashraf berada di satu kawasan seakan Gua Tempurung.

“Kami cari kelmarin sekitar Gua Tempurung sebab mak ada mimpi dan dia perasan kawasan itu  Gua Tempurung, malah ada pengamal perubatan Islam nampak perkara sama, dia kata nampak Acap di situ.

“Bagi pihak keluarga, kami tidak kisah apa-apa  petunjuk, kami akan ikhtiar  dan usaha mencarinya,” katanya ketika dihubungi,  semalam.

Video pencarian mereka  di Gua Tempurung itu turut tular sebaik dimuat  naik Mohd Zahiruddin di media sosial, malam kelmarin. 

Dalam beberapa video  dimuat naik itu dapat didengar rintihan suara Siti  Maznah yang memanggil nama anaknya berulang  kali...’Acap di sini Acap, balik Acap...mak kat sini’.

Mohd Zahiruddin berkata,  sejak kes kehilangan Mohammad Ashraf dilaporkan,  ramai yang menawarkan  khidmat bantuan menerusi kaedah perubatan Islam.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan informasi  diperolehi tidak memaklumkan lokasi yang tepat dan bersifat pelbagai seperti menyebut pokok, batu dan sungai.

“Mereka suruh cari di pangkal pokok, ada yang  kata celah batu, jadi kami  pun tak tahu mana satu.

“Apa pun kami ucap  terima kasih kerana sanggup membantu, jumlahnya terlalu ramai termasuklah mereka dari Sabah dan Sarawak.

“Ada yang hubungi menerusi telefon, mesej dan ada yang datang berjumpa,” katanya. 

Mengimbas kejadian  23 Mac lalu, dia berkata, sekitar jam 12 tengah hari,  talian telefon Mohammad Ashraf masih berfungsi, namun panggilan yang dibuat oleh  isterinya itu tidak diangkat.

Panggilan seterusnya dibuat sekitar jam 3 petang  apabila mangsa tidak tiba  di garisan penamat, namun talian telah ditutup. 

“Kami harap Acap akan muncul walau terpaksa tunggu lama,” katanya. 

Mohammad Ashraf atau mesra disapa Acap bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pejabat Kesihatan Muar, Johor disedari hilang selepas gagal tiba di garisan penamat meskipun berada di kedudukan 10 peserta teratas bagi kategori 25km.