GOPENG - Keluarga peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, nafikan menawarkan ganjaran berbentuk wang tunai kepada pihak yang berjaya menemui mangsa.

Abang Mohammad Ashraf, Mohd Zahiruddin, 35, berkata, pihaknya kesal apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kehilangan adiknya itu.

“Kami ada dengar mereka tawarkan sehingga puluhan ribu ringgit. Tular itu palsu. Tidak perlu layan dengan khabar angin ini kerana fokus pencarian kami adalah untuk mencari Acap.

“Kami juga tidak mengetahui atau mengenali dengan pihak yang cuba mengutip derma kilat untuk sukarelawan yang terlibat dalam mencari Acap,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai tidak percaya sebarang hebahan meminta bantuan kewangan atau ganjaran meragukan.

“Tidak dinafikan ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menangguk dalam air keruh," katanya.

Bagaimanapun, orang ramai diminta merujuk dengan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim.

“Setakat ini belum ada laporan yang diterima berhubung dengan perkara itu namun, orang ramai diminta berhati-hati jangan percaya dengan ganjaran dan meminta wang mencari mangsa,” katanya.

Artikel berkaitan

Bomba terima lebih 100 panggilan sehari, misi mencari Acap diteruskan di Gua Tempurung