GERIK – Sepasang suami isteri maut sementara dua anak perempuan mereka  terselamat selepas lori tangki dinaiki terbabas sebelum terbalik di KM12 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik- Jeli berhampiran Hentian Air Lebey, semalam.

Kejadian jam 6.30 pagi itu berlaku ketika lori  membawa muatan minyak hitam terbabit dalam perjalanan dari arah Jeli ke Gerik.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail  Che Isa berkata, pemandu lori, Muhammad Fazil Muhamad, 34, disahkan meninggal  dunia di lokasi kejadian sementara isteri mangsa, Saadiah Mohd Rezal, 32, meninggal dunia di Hospital Gerik.

“Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat  kecederaan parah di kepala. 

Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun mengalami cedera di kaki, sementara seorang lagi berusia tujuh tahun tidak mengalami sebarang  kecederaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan  awal mendapati, lori tangki berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terbalik dalam longkang.

“Keadaan di lokasi adalah jalan selekoh dua hala,  akibat kejadian itu, lori terbabit mengalami kerosakan  teruk di bahagian hadapan, tangki kemek dan tayar pecah,” katanya.

Beliau berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.