BUKIT GANTANG - Kerajaan diminta mempertimbangkan penyaluran bantuan kewangan perkapita tahunan kepada sekolah kelas agama dan fardu ain (Kafa) seperti diberikan kerajaan kepada maahad tahfiz dan sekolah bantuan kerajaan bagi meringankan ibu bapa.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Abdul Fasal berkata, inisiatif murni itu penting kerana sekolah Kafa adalah medan awal untuk melahir modal  insan yang baik kepada agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, ini sebab masih ramai ibu bapa di kawasan luar bandar yang bekerja sebagai pekebun, petani, kerja sendiri dan nelayan tidak mampu menjelaskan yuran anak mereka disebabkan masalah peningkatan kos sara hidup tinggi.

"Di Parlimen Bukit Gantang, setiap tahun sekolah Kafa menghadapi tunggakan yuran pengajian kerana masalah yang dihadapi keluarga golongan asnaf berkenaan.

"Sudah tiba masanya kerajaan bersikap prihatin dengan memberi bantuan sewajarnya terhadap sekolah-sekolah Kafa memandangkan mereka ejen pembangunan sahsiah generasi muda yang terbaik," katanya pada majlis penyerahan sumbangan sekolah Kafa Parlimen Bukit Gantang oleh Yayasan Al Fasal di Masjid Rahmaniah, Trong dekat sini, semalam.

Syed Abu Hussin yang juga pengerusi yayasan itu berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM73,359 wang zakat untuk membantu 709 murid yang belajar di sekolah Kafa tetapi tidak mampu membayar yuran pengajian masing-masing di kawasan Parlimen Bukit Gantang bagi 2018.

Menurutnya, bantuan hasil zakat perniagaan diberikan kepada asnaf tersebut yang layak menerimanya.

"Saya keluarkan zakat perniagaan saya kerana setiap tahun sekolah berkenaan menghadapi tunggakan yuran kerana keluarga tidak mampu membayarnya.

"Saya berjanji akan terus membantu golongan asnaf yang tidak mampu daripada peruntukan saya sendiri dan sentiasa memberikan khidmat dalam apa sahaja bentuk kepada rakyat di Parlimen Bukit Gantang," katanya.