GOPENG - Penganjur Gopeng UltraTrail (GUT) 2019 telah menghentikan operasi mencari pesertanya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong, Muar, Mohammad Ashraf Hassan, 29, selepas menemui jalan buntu pada misi yang dijalankan sejak 23 Mac lalu.

Ketua Bahagian Teknikal perlumbaan, Nik Khairul Amri Nik Hassan berkata, pencarian pihaknya termasuk bantuan dari para pendaki untuk mencari mangsa sepanjang 10 hari berlangsung memberikan hasil yang negatif.

“Kita mencuba segala kemungkinan termasuk mencarinya di sepanjang Sungai Kampar. Daripada 150 orang, kini tinggal lebih 10 orang yang masih meneruskan usaha mencari mangsa bersama pasukan penyelamat yang lain.

“Namun kita tak tinggal begitu sahaja, kita sentiasa mengikuti perkembangan operasi ini dan sekiranya ada petunjuk selain mistik, barulah kita masuk semula membantu mencarinya. Perkara ini kita turut maklumkan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya

telah memperluaskan lokasi pencarian.

“Hari ini (semalam) kita cuba mencari mangsa di kawasan baru melibatkan laluan tidak dilaluinya iaitu trek laluan kategori 50km.

“Dengan bantuan Pasukan Khas Operasi Taktikal Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, kita mencari di setiap inci kawasan atau kawasan berpotensi

mangsa tersasar dari laluan asalnya,” katanya.

Beliau menasihatkan sukarelawan yang ingin membantu, membataskan pergerakan di kawasan perkampungan yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk.

Lakon semula pergerakan pelari

Sementara itu, seorang renjer Jabatan Perhutanan Negeri menyifatkan kehilangan peserta GUT, Mohammad Ashraf Hassan, 29, sebagai satu misteri yang sukar dirungkaikan.

A Halim Ngah Ismail, 50, berkata, dia sendiri menemui jalan buntu berikutan tiada sebarang petunjuk yang ditemui hingga memaksa dia membuat simulasi semula pertandingan itu.

“Secara peribadi, ia suatu misi yang sukar apabila pencarian berdasarkan gambar dan saksi gagal menemui sebarang petunjuk pun meskipun menggunakan anjing pengesan.

“Keadaan itu memaksa kita mengadakan simulasi semula pertandingan berpandukan saksi yang bersama mangsa. Kehilangannya ini dilihat pelik apabila lokasi terakhirnya berhampiran dengan kampung,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurutnya, saksi mengakui Ashraf bergerak ‘laju’ melintasi kawasan check point 10, lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Saya menyertai pelbagai operasi untuk mengesan peserta pendakian yang tersesat mahupun yang memerlukan pertolongan, tetapi operasi kali ini betul-betul menguji kepakaran dan ketabahan semua pihak yang terlibat.

“Atas inisiatif sendiri, pencarian dilakukan tengah malam hingga awal subuh bersama ahli keluarga dan pihak yang terlibat. Kami bersama pendaki lain sangat mengharapkan agar mangsa berjaya ditemui semula,” katanya.

Katanya, misi itu juga adalah pengalaman barunya apabila menyertai operasi terbesar melibatkan pelbagai agensi penyelamat bersama dengan aset-aset tersendiri.

Sementara itu, A Halim berkata, pencarian yang masuk hari ke-10 itu turut menarik pelbagai pihak termasuk paranormal untuk membantu mengesan mangsa yang kononnya telah ‘disorok’ di alam lain.

Difahamkan anak murid ‘Raja Bomoh Politik’, Ibrahim Mat Zin turut menyertai pada hari ketiga operasi, bukan menggunakan buah kelapa sebaliknya tanduk seladang yang dibawanya sendiri.

“Itu adalah sebahagian usaha paranormal yang turut membantu dalam pencarian ini. Pelbagai ritual dapat dilihat sepanjang operasi ini berlangsung, ada yang membawa pedang, tepuk pokok besar untuk berkomunikasi dan sebagainya.

“Apa-apa pun ritual yang dijalankan, kita mengharapkan doa daripada rakyat agar memudahkan operasi pencarian mangsa ini,” katanya.

Ritual pelik gusarkan penduduk

Penduduk Kampung Pintu Padang akui terkesan dengan pendekatan ritual melampau oleh sesetengah pihak dalam membantu operasi mencari Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu.

Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung Pintu Padang, Mohd Fairis Zabidi berkata, tindakan itu bukan sahaja dilihat menyalahi agama malah, menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk dengan kehadiran orang ramai yang luar biasa.

“Kita terima pelbagai aduan penduduk yang terganggu dengan kereta orang luar yang meletakkan kenderaan sesuka hati.

“Mereka menggunakan kaedah seperti penggunaan kemenyan, tanduk, pasu dan sebagainya dalam operasi ini. Kami tak selesa dengan kaedah

di luar batasan agama itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengambil inisiatif menutup jalan masuk ke Bukit Batu Putih bagi mengekang orang awam masuk sendirian.

“Kita tubuhkan kumpulan dalam kalangan belia, mana-mana individu atau kumpulan buat pencarian, kami akan turut serta seperti solat hajat dan sebagainya.

“Penduduk kampung berharap orang ramai yang ingin membantu buat secara efisien dan tidak melanggar tatasusila agar kita dapat menemui mangsa,” katanya.