SUNGAI BAKAP - Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara (SKBTM), Simpang Ampat sekali lagi mengukir sejarah tersendiri apabila seramai 37 muridnya dan enam guru berjaya menawan Puncak Bukit Engku Busu di Lumut, baru-baru ini.

Lebih membanggakan tiga daripada 37 murid yang terlibat merupakan murid pendidikan khas manakala dua murid Tahun Dua menjadi pendaki termuda berjaya sampai ke puncak bukit setinggi 1,089 kaki.

Program pendakian itu merupakan salah satu aktiviti dalam Kursus Kepimpinan Eksekutif Muda SKBTM yang diadakan selama tiga hari di Alam Rindu Motel Kampung Bharu, Air Tawar Perak.

Guru Besar SKBTM, Fadzilah Hasan berkata, kesemua peserta yang mengikuti pendakian ini terdiri daripada pengawas sekolah, pembimbing rakan sebaya, pengawas pusat sumber, pengawas SPBT dan pemimpin badan beruniform.

Turut terpilih mengikuti program ini, ketua kelas dan murid yang menunjukkan disiplin dan adab terbaik.

Menurutnya, kursus kepimpinan eksekutif dan eksplorasi pendakian ini dibantu sepenuhnya oleh jurulatih rekreasi daerah Manjung dan sukarelawan Majlis Belia Daerah Manjung.

"Memandangkan SKBTM meletakkan konsep kemenjadian, keberhasilan dan kelestarian murid sebagai agenda utama, maka kejayaan yang dicapai pada 16 Mac lalu dijadikan pendorong semangat pada murid lain.

"Kesemua mereka yang mengikuti program ini perlu menempuh laluan pendakian yang mencabar dan menguji ketahanan fizikal serta mental mereka dan ia sekali gus dapat memupuk semangat kerjasama dalam kalangan murid," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi Jurulatih Rekreasi GPMS, Muhathir Mukhtar berkata, pihaknya amat kagum dengan semangat yang di tunjukkan peserta sepanjang pendakian dan menuruni bukit.

"Mereka berjaya mengawal diri supaya lebih bersabar dan tenang dalam semua keadaan. Bayangkan murid sekolah rendah yang saya lihat susuk tubuh badan yang kecil dan murid pendidikan khas mampu bersatu dan bekerjasama membantu rakan mereka sehingga ke puncak," katanya.