GOPENG - Orang awam dan penduduk di sekitar Kampung Pintu Padang di sini yang mahu melakukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong Muar, Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak bulan lepas perlu melaporkannya kepada Balai Polis Gopeng.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata pihaknya tidak menghalang orang awam dan penduduk kampung untuk melakukan usaha pencarian mengikut kaedah mereka sendiri namun elemen keselamatan perlu menjadi keutamaan.

Katanya segala usaha pencarian yang telah disusun atur oleh mana-mana pihak secara sukarelawan dari awal usaha SAR dilakukan, pihaknya tidak pernah menerima rekod maklumat berkenaan.

"Kita telah uar-uarkan kepada orang ramai (perlu melaporkan kepada polis) dan kita sediakan buku untuk direkodkan maklumat tetapi tidak ada yang datang memberi maklumat.

 "Kita mahu mereka yang menyertai usaha pencarian pergi dan balik dalam keadaan yang selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas Program Polis Masuk Kampung anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sekitar Gopeng di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pintu Padang, Mohd Fairis Zabidi berkata kira-kira 30 individu terdiri daripada anggota majlis serta kariah surau dari Kampung Pintu Padang di sini meneruskan usaha mencari dan menyelamat Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai acap.

Beliau berkata selain itu, beberapa pengamal perubatan Islam dan individu yang mempunyai pengalaman mencari orang hilang turut menyertai usaha tersebut untuk mencari Mohammad Ashraf.

"Kita melakukan operasi pencarian pada waktu pagi sehingga ke petang yang berpecah kepada empat kumpulan melibatkan tujuh hingga lapan orang dan kita akan berhubung dengan pihak bomba dan polis sekiranya mendapat petunjuk baharu semasa usaha pencarian dilakukan.       

"Selain mencari mangsa di kawasan yang dilaporkan hilang, kita turut mengadakan solat hajat memohon petunjuk supaya Mohammad Asyraf berjaya ditemui semula," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, Mohd Fairis berkata penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan menyambut baik langkah pasukan penyelamat yang menangguhkan sementara operasi SAR bermula hari ini.

"Ada kalangan orang-orang tua yang sudah lama tinggal di sini meminta supaya operasi pencarian direhatkan buat sementara waktu bagi membolehkan penduduk kampung melakukan ikhtiar untuk mencari Mohammad Ashraf.

"....apabila operasi pencarian dilakukan dengan penglibatan ramai individu, ia akan menyukarkan seterusnya melambatkan lagi penemuan mangsa," katanya. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN:Saya dah bincang dengan Ketua Kampung Pintu Padang dan perlu buat laporan polis'- Abang Acap]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis yakin Acap bukan diserang haiwan buas.. tiada petunjuk]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan Acap yang kini masuk hari ke 19]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya yakin Acap masih hidup, dia pakar, hingga digelar 'orang gunung'" - kata rakan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Individu, pihak dakwa Acap berada di JB diminta tampil buat laporan polis]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis Perak tidak pernah terima jawapan kehilangan Acap.. tular itu palsu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis yakin Acap bukan diserang haiwan buas.. tiada petunjuk]