GERIK - Polis Perak akan menggerakkan 160 anggota termasuk pegawai bagi meneruskan gerakan mencari seorang peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong Muar, Mohammad Ashraf Hassan pada Sabtu ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata gerakan secara besar-besaran itu akan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman dalam usaha untuk membantu mengesan kehilangan mangsa yang lebih dikenali sebagai Acap.

Beliau berkata pencarian Mohammad Ashraf yang hilang sejak 23 Mac lepas juga akan dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Kita akan membuat pencarian di kawasan tiga kilometer dari garisan penamat kerana kita percaya kemungkinan dia hilang dalam kawasan sebelum ke garisan penamat,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas Program Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Ketua Polis Perak bersama Masyarakat Orang Asal di perkampungan Klewang, Tasik Temenggor di sini, hari ini.

Mengenai program hari ini, Razarudin berkata ia bertujuan mengeratkan hubungan dan kesefahaman antara polis dengan penduduk asal di Royal Belum.

"Menerusi program ini, kita juga meminta mereka berhubung dan melaporkan kewujudan jenayah serta keselamatan di kawasan tempat tinggal masing-masing," katanya.

Pada masa ini, katanya melalui aktiviti yang diadakan PDRM berharap dapat mempelajari sesuatu mengenai landskap kehidupan Orang Asli terutama suku kaum Jahai bagi dipraktikkan dalam penugasan keselamatan.

Pelbagai program diadakan antaranya pemberian makanan yang telah dimasak kepada 180 orang penduduk, penyampaian barangan keperluan asas kepada 33 keluarga, aktiviti sukaneka serta pemeriksaan dan rawatan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Hulu Perak. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN : Kronologi kehilangan Acap yang kini masuk hari ke 19]