IPOH - Biarpun tanpa ibu di sisi, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rapat, Mohd Firdaus Abdullah, 12, kanak-kanak tular yang hidupnya seperti gelandangan sebelum ini tetap gembira berpuasa bersama rakan-rakan di pusat jagaan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini.

Walaupun teringat ibunya, Mohd Firdaus mengakui tidak lagi kesunyian dan meneruskan hidup seperti kanak-kanak lain.

“Cuma tahun lepas masa beli baju raya dengan mak tapi tahun ini beli dengan kawan-kawan. Rasa lainlah sikit tapi saya seronok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pemilihan Pakaian Raya bersama Anak-anak Yatim Darussalam dan Ibu Tunggal anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Persatuan Pegawai Kanan Majlis Bandaraya Ipoh (Paduan), Hotel Impiana, Pasaraya Econsave dan Yayasan Abu Bakar di Pasaraya Econsave Bercham di sini baru-baru ini.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Mohd Firdaus berkata, dia tidak kisah untuk beraya bersama kawan-kawan di pusat jagaan dan tidak terlalu mengharapkan ahli keluarga terdekat untuk melawat dan mengambilnya berhari raya bersama mereka.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kehormat Paduan, Mohd Syahrizal Azmi berkata, program pemberian baju raya itu merupakan acara tahunan bersama-sama Kelab Kebajikan dan Sukan Media Perak dan penaja lain.

Menurutnya, seramai 60 anak yatim dan miskin daripada Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam diraikan pada program itu.

“Ini merupakan tahun keenam program dan pada tahun ini kita turut libatkan ibu tunggal.

“Untuk anak-anak ini kita berikan baju raya dan keperluan lain manakala ibu tunggal pula barangan keperluan harian bernilai RM100-RM120,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengurus Cawangan Econsave Bercham, Shah Effendy Rosman dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Impian Ipoh, Normah Ahmad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki menjalani kehidupan seperti gelandangan selepas tinggal seorang diri di rumah sewanya di Jalan Intan, Kampung Dato’ Ahmad Said, Manjoi selepas ibunya yang telah bercerai, ditahan dalam satu operasi pihak berkuasa awal April lalu.

Mohd Firdaus

Mohd Firdaus memilih baju raya pilihannya sambil dibantu Normah (kiri) pada majlis tersebut di Pasaraya Econsave Bercham baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Firdaus

Artikel menarik:

Cikgu cantik ini guna kaedah 'digital classroom' tarik perhatian pelajar

Sering mimpi kemalangan rempuh tiang elektrik... calon SPM ini seolah merasai kematian

Sebelum ini perbelanjaan anak ke sekolah pun tak cukup... namun kini 'cucur sekupang' ubah kehidupan

Dikongsi 3,000 warganet, ini bahagian kedua kisah tajau berusia 500 tahun

Fenomena beyblade, ini kata Cikgu Ashikin tentang permainan yang makin popular kalangan kanak-kanak