GOPENG - Polis menasihatkan orang ramai tidak menyertai misi mencari peserta Gopeng Ultra Trail (GUT), Acap atau nama sebenarnya Mohammad Ashraf Hassan, 29, besar-besaran, esok.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar dan Balai Polis Gopeng tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran program itu.

“Penganjur program tersebut tidak dikenal pasti dan tiada sebarang butiran penganjuran termasuk nombor telefon dinyatakan dalam poster tular terbabit dipercayai bagi mengelak dipanggil pihak berkuasa.

“Tindakan itu tidak sesuai kerana melibatkan penyertaan besar yang mungkin berbahaya. Selain itu, ia memperlihatkan rasa tidak bertanggungjawab pihak berkenaan kerana tidak berani tampil ke hadapan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya menerima laporan polis berhubung penganjuran atau penularan berita tidak benar serta kenyataan palsu.

“Sekiranya ada laporan polis, kita akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjara setahun atau kedua- duanya sekali,” katanya.

Poster tular yang mengajak mencari Acap secara besar-besaran esok adalah palsu, tiada sebarang butiran penganjur.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan penularan program yang dilihat boleh mengganggu tugas pencarian oleh pasukan penyelamat.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kehadiran terlampau ramai orang awam boleh mengganggu fokus pencarian pasukan penyelamat dan dibimbangi menimbulkan ketidakselesaan penduduk kampung.

“Kami nasihatkan pengunjung atau sukarelawan yang ingin membantu supaya mengehadkan kehadiran dan menunggu maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

“Faktor keselamatan perlu dititikberatkan kerana lokasi pencarian adalah berisiko. Bomba turut berhadapan ular berbisa sepanjang operasi ini,” katanya.

Terdahulu, poster pencarian Hari Ke-15 Misi Mencari Ashraf besarbesaran dijadualkan berlangsung Sabtu ini tular di aplikasiWhatsApp dan media sosial dengan peserta dikehendaki berkumpul di Tapak Perkhemahan Gua Tempurung di sini.

Artikel berkaitan:

Keluarga nafi tawar ganjaran cari Acap, abang kesal ada pihak ambil kesempatan

Bomba terima 100 panggilan sehari, misi mencari Acap diteruskan di Gua Tempurung

Misi mencari Acap temui jalan buntu,.. penganjur GUT henti operasi

Nampak orang berjubah putih bawa obor waktu senja - Laluan tak bahaya penduduk hairan Acap hilang

Kakak ucap terima kasih, usaha mencari dilanjutkan esok

Ada kaitan makhluk halus: ustaz ini saran lima amalan dilakukan dalam usaha mecari Acap