Amalan membaca Yasin di kalangan murid-murid perlu diterapkan dalam melahirkan individu yang cemerlang dunia dan akhirat.

Di samping itu, ia dapat melatih murid memiliki ciri-ciri membudayakan al-Quran, berketerampilan, pekerti yang mulia dan berkebolehan menyesuaikan diri dengan era globalisasi.

Walau bagaimanapun, bacaan Yasin di Sekolah Kebangsaan (SK) Kenering, Gerik, Perak kali ini agak berbeza memandangkan semua dalam keadaan keresahan dan kebimbangan akibat Covid-19.

Dalam keadaan situasi dan norma baharu, murid-murid tetap meneruskan bacaan Yasin setiap pagi Jumaat biarpun dalam keadaan penjarakan sosial.

Keadaan ini memberi kesedaran bahawa hanya Allah tempat memohon pertolongan dan memupuk semangat berusaha dan berikhtiar untuk berjaya, tidak hanya berserah kepada takdir.

Menurut Ketua Panitia Pendidikan Islam Ustaz Quszaini Abd  Manan, program di bawah Panitia Pendidikan Islam ini tetap tidak lari daripada objektif asal iaitu memberi kesedaran kepada murid mengenai kepentingan dalam membaca surah Yasin, membina sahsiah murid dalam membentuk keperibadian yang luhur.

“Program ini mesti diteruskan untuk memupuk amalan cinta al-Quran dalam kehidupan harian serta membentuk “ Ruhul Iman” di kalangan warga sekolah," katanya.

Ustaz Quszaini berkata, hari-hari persekolahan sebelum ini, murid dan guru akan membaca surah Yasin di perhimpunan pagi setiap hari Jumaat.

"Ia dimulakan dengan tazkirah ringkas dan alunan zikir.

"Namun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula, sekolah telah mengambil keputusan untuk mengekalkan program ini seperti biasa cuma dalam keadaan dan situasi berbeza," ujarnya.  

Beliau berkata, bacaan Yasin dilakukan di kelas masing-masing ditemani oleh guru kelas atau guru waktu pertama.

Para pengawas Tahap Dua akan ditugaskan untuk mengawal murid-murid Tahap Satu. Aktiviti dimulakan dengan tazkirah ringkas oleh guru, bacaan yasin dan diakhiri dengan doa. Selepas itu aktiviti pengajaran dan pembelajaran diteruskan sebagaimana kebiasaan.

Semoga program bacaan Yasin ini dapat dijalankan dengan jayanya dan secara tidak langsung dapat mencapai objektif yang diingini.

Artikel menarik

Lumpuh tidak halang Cikgu Mohd Yusof tawan Bukit Taisho

Bagaikan profesional, koleksi kabinet pelajar SMK Kuala Kurau buat ramai warganet terkejut!