IPOH - Keluarga kepada peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019 juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong Muar Mohammad Ashraf Hassan yang hilang sejak 22 hari lepas meminta sukarelawan menghentikan misi mencari lelaki itu.

Sehubungan itu, abang mangsa Mohammad Azlan yang mewakili keluarganya telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Gopeng, semalam.

Dalam laporan polisnya yang tular di media sosial, Mohammad Azlan memohon orang awam dan mana-mana sukarelawan yang ingin menjalankan misi mencari adiknya berhenti datang serta masuk ke kawasan kampung tempat mangsa hilang.

"Saya telah bincang dengan pihak Ketua Kampung Pintu Padang dan saya perlu membuat satu laporan polis. Saya turut meminta agar sebarang spekulasi dan berita-berita tidak benar tentang kehilangan adik saya ini turut dihentikan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis serta kandungan laporan yang tular dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Mohammad Ashraf, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan acap dari Muar, Johor bersama 485 peserta lelaki dan perempuan memulakan larian GUT 2019 dari Gua Tempurung dekat Gopeng bagi kategori 25km pada 23 Mac, namun mangsa tidak sampai ke garis penamat selepas selesai perlumbaan. - Bernama

 

[ARTIKEL BERKAITAN: Kronologi kehilangan Acap yang kini masuk hari ke 19]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya yakin Acap masih hidup, dia pakar, hingga digelar 'orang gunung'" - kata rakan]

[ARTIKEL BERKAITAN: Individu, pihak dakwa Acap berada di JB diminta tampil buat laporan polis]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis Perak tidak pernah terima jawapan kehilangan Acap.. tular itu palsu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Polis yakin Acap bukan diserang haiwan buas.. tiada petunjuk]