IPOH - Penceramah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias menyifatkan kes kehilangan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Abong Muar Mohammad Ashraf Hassan, 29,  sebagai satu ujian bukan sahaja kepada ahli keluarga tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Mohd Kazim berkata, ujian itu untuk mengetahui tahap keimanan manusia sama ada tetap bergantung harap kepada ALLAH SWT atau meyakini ramalan yang dibuat segelintir pihak.

Menurutnya, dalam tempoh kehilangan mangsa yang masuk hari ke-18, banyak pihak dilihat tampil membuat andaian dan firasat sendiri hinggakan sebahagiannya berunsur syirik serta khurafat.

 "Saya lihat di Facebook terlalu ramai buat ramalan, ada yang mengatakan mangsa sudah berkahwin di alam sana, dia hidup tetapi disembunyikan dan ada juga yang sudah membantu dengan bertarung dengan jin.

"Saya khuatir jika berlaku satu keadaan kita lebih percaya kepada perkara seperti ini sedangkan dalam perkara ghaib yang mengetahui hanya ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi semalam.  

Beliau berkata demikian mengulas pertemuan yang dibuat bersama ahli keluarga Mohammad Ashraf di Pusat Pendidikan Al Barakah kelmarin.

Mohd Kazim berkata, pihaknya telah mengesyorkan kepada ahli keluarga mangsa untuk menolak pelawaan pengamal perubatan  yang menggunakan ritual bercanggah hukum syarak.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja tidak membantu malah mungkin menjadi penyebab doa orang ramai agar mangsa ditemui tidak dimakbulkan ALLAH SWT.

"Mungkin ada hikmahnya mengapa Mohammad Ashraf belum ditemui, jika ditemukan sekarang akan ada orang mendakwa itu hasil usahanya, apatah lagi jika yang dilakukan itu bercanggah dengan hukum. Saya rasa semua orang akan percaya dan pergi berubat dengan orang itu.

"Jika benar nak berunding, lakukan dengan cara yang betul menerusi perawatan Islam bukannya dengan benda pelik-pelik. Insya-ALLAH doa kita akan dimakbulkan," katanya.

 Beliau turut menyarankan ahli keluarga Mohammad Ashraf untuk meneruskan solat hajat.

Jelasnya, selain berikhtiar dengan cara dibenarkan syarak, ahli keluarga juga boleh berbuat infak dengan memberi sedekah atau jamuan makan kepada anak yatim serta fakir miskin.

"Moga dengan berbuat kebaikan, ALLAH SWT akan makbulkan doa semua yang mahukan Mohammad Ashraf ditemukan segera," katanya.

Mohd Kazim yang kini dalam lawatan kerja ke Turki selama enam hari bermula semalam menyatakan kesediaan untuk meninjau lokasi kehilangan mangsa.

"Balik dari Turki nanti jika mangsa masih belum ditemui, insya-ALLAH saya akan turun ke kawasan berkenaan. Kita lihat dan bantu mana yang boleh," katanya.   

Semalam, tular ini https://www.gpsbestari.com/berita/perak/polis-perak-tidak-pernah-terima-jawapan-kehilangan-acap-tular-itu-palsu-1.924832