IPOH - Masih punya ibu dan ayah juga saudara mara, namun kehidupan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ini tidak ubah seperti gelandangan.

Kehidupan itu terpaksa dilalui Mohd Firdaus Abdullah sejak dua minggu lalu selepas tinggal seorang diri di rumah sewanya di Jalan Intan, Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi.

Dia yang tidak lagi bersekolah sejak Oktober tahun lalu, tinggal sendirian selepas ibunya ditahan dalam satu operasi Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), awal bulan ini.

Ketika ditemui, dia berkata, ibu dan ayahnya telah lama berpisah dan selepas berkahwin baharu, ayah tirinya juga meninggalkan mereka, kira-kira lima tahun lalu.

"Saya anak tunggal, jadi memang duduk berdua saja dengan mak. Tapi dua minggu sudah ada kawan beritahu yang mak dah kena tangkap sebab dadah.

"Saya tak sempat jumpa mak. Tahu-tahu balik rumah, tak ada orang pun," katanya.

Menurutnya, kerana takut tinggal sendiri, dia menumpang tidur di rumah kawan baik yang juga rakan sekelasnya dahulu, dikenal sebagai Syafik.

"Keluarga Syafik baik. Bila mereka kena balik kampung, saya balik ke rumah," katanya.

Perkongsian kisah Mohd Firdaus yang dikongsi Amiruddin di Facebook.

Apa yang menyedihkan, rumah bersambung tiga pintu jenis papan yang turut didiami dua penyewa lain itu telah terputus bekalan elektrik dan air sejak dua tahun lalu.

Mohd Firdaus berkata, sepanjang tempoh itu, rumahnya hanya diterangi cahaya lilin, sementara dia dan ibunya mandi di tandas stesen minyak berdekatan.

"Lepas berhenti sekolah, saya tolong sapu daun kering dan bakar sampah di rumah orang. Dapatlah upah RM3 ke RM5. Mak pula kerja cuci-cuci, orang kampung pun banyak tolong. Ada yang bagi duit untuk kami makan," katanya.

Katanya, sepanjang tinggal di rumah sendiri, bapa saudaranya kerap membantu dengan menghantar makanan setiap hari.

Bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jati ini juga menyatakan keinginannya untuk kembali ke sekolah.

Ibu Mohd Firdaus berusia 42 tahun difahamkan kini berada di Penjara Tapah. 

Kali terakhir dia mendapat perkhabaran ayah kandungnya berada di Negeri Sembilan.

Mohd Firdaus menunjukkan keadaan rumah sewanya yang ditinggalkan dalam keadaan tidak terurus.

Kisah tular di media sosial

Kisah kanak-kanak ini tular di media sosial menerusi perkongsian Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Amiruddin Mohd Daud di Facebook.

Amiruddin, 58, yang lebih dikenal sebagai Tok Anjang berkata, dia menerima panggilan daripada bapa saudara kanak-kanak itu yang meminta bantuan penjagaan sementara.

"Kebetulan persatuan kami ada rumah wakaf yang digunakan sebagai rumah transit, jadi untuk sementara kami tempatkan dia di situ. Adalah juga orang tengok-tengokkan makan minum dan pakaiannya.

"Rumah yang kami beri nama Rumah Bigbro itu baru enam bulan beroperasi khusus untuk ahli persatuan, orang bermusafir atau yang yang kurang mampu jadikan penempatan sementara," katanya.

Menurutnya, keadaan Mohd Firdaus dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak dan mereka mengesyorkan agar kanak-kanak itu ditempatkan di asrama rumah perlindungan.

"Kita nak dia duduk di tempat yang selamat bagi membolehkan kebajikannya terbela termasuklah keperluan pendidikan," katanya.