"Pada 8 Mei, kami membuat simulasi pengoperasian pengurusan sekolah di beberapa sekolah di Selangor dan Putrajaya. Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula sekolah telah sampai ke semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak pentadbiran sekolah,” kata Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya.

Ditanya sama ada pembukaan semula sekolah hanya akan melibatkan guru Tingkatan Lima dan Enam, Muslimin berkata ia akan melibatkan semua tenaga pengajar di sesebuah sekolah itu.

"Setiap guru akan menolong ketika proses pembelajaran dan pengajaran kerana setiap kelas hanya akan mempunyai antara 16 dan 20 pelajar. Setelah itu dilaksanakan, kami memerlukan lebih banyak guru untuk saling membantu. Kita perlu memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar,” katanya.

Mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung sesi persekolahan akan bermula sedangkan penularan pandemik COVID-19 masih belum reda, beliau berkata JPN dan PPD akan sentiasa memastikan pihak pentadbiran sekolah mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita memberi jaminan, pelajar tidak bergejala akan dibenarkan ke sekolah. Sekiranya mereka menunjukkan gejala seperti selesema, mereka akan dinasihatkan pulang atau menjalani saringan di bilik kesihatan di sekolah yang akan disediakan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak-anak ke sekolah sekiranya menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan selesema.

BERNAMA