IPOH - Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, di sini, berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 sekolah terbaik Pertandingan Video Kreatif Indah Water Konsortium (IWK)-GPS Bestari.com.

Guru Besarnya, Azmi Mat Adam berkata, biarpun sekadar menerima hadiah saguhati, pihak sekolah tetap berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan guru dan murid-murid terlibat.

Katanya, ia satu pengalaman baru apabila SK Pengkalan berjaya menjadi antara sekolah terbaik pertandingan itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada guru dan murid yang terlibat kerana telah harumkan nama sekolah.

“Bukan mudah jadi terbaik bersaing dengan 150 sekolah yang menyertai pertandingan ini dan kita harap kejayaan ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Kreatif Indah Water Konsortium (IWK)-GPS Bestari.com di SK Pengkalan, di sini semalam.

Majlis penyampaian diadakan ketika perhimpunan pagi sekolah itu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengurus Khidmat Pelanggan IWK Cawangan Ipoh, Ezmeen Mohd Shuib dan Ketua Wartawan Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad mewakili GPS Bestari.

SK Pengkalan memenangi wang tunai RM500, buku dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Ezmeen kepada Azmi.

Sebelum ini, GPSBestari.com dengan kerjasama IWK mengadakan pertandingan video kreatif dengan hadiah wang tunai RM15,000 untuk dimenangi.

Pertandingan bermula 1 Julai dan berakhir 30 September tahun lalu menerima 150 penyertaan membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara.

Di Perak selain SK Pengkalan, SK Dato Laksamana Raja Mahkota, Teluk Intan turut menerima ganjaran selepas berjaya menjadi naib johan.