TAIPING - Seramai 40 murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping bertindak menjadi duta remaja bagi kempen menghapuskan denggi apabila menyertai Skuad Patrol Denggi sekolah itu yang dilancarkan 1 April lalu.

Setiausaha Program Skuad Patrol Denggi SMK Convent Taiping, Zainab  Abd Rahman berkata, kesemua peserta skuad terdiri pelajar Tingkatan 3 dan 4 menyahut inisiatif Jabatan Pendidikan Perak menganjurkan kempen menangani wabak denggi melalui pertandingan Patrol Denggi peringkat negeri.

Menurutnya, pendekatan proaktif ini bertujuan  membentuk pelajar sebagai agen perubahan yang mampu membantu menyedarkan  masyarakat mengenai bahaya nyamuk Aedes dan denggi.

“Justeru, hampir 30 aktiviti  dirancang Skuad Patrol Denggi SMK Convent  Taiping antaranya program gotong-royong bersama  komuniti, edaran risalah mengenai denggi, penyebaran maklumat di media  sosial dan pameran kempen menangani wabak denggi.

“Selain itu, program itu bertujuan memberi pendidikan  mengenai bahaya  denggi dan cara menanganinya  bukan sahaja kepada pelajar bahkan guru, ibu bapa dan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Zainab berkata, pihaknya berharap program  Skuad Patrol Denggi SMK  Convent Taiping yang sedang  giat dipromosi sama ada dalam media sosial  mahupun media massa ketika ini, mendapat sokongan padu masyarakat setempat.

Menurutnya, pihaknya bersyukur pelancaran skuad itu disokong sepenuhnya Pengetua SMK Convent Taiping, Saharidah Sahaban, penolong-penolong kanan, warga
guru sekolah itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

“Pihak sekolah ingin mengajak masyarakat untuk  membantu mempromosi kempen kami dalam  bentuk ‘Like’ dalam laman sosial, khidmat komuniti, seni persembahan dan kuiz.

“Saya menyeru rakyat negara ini terutama penduduk  daerah Larut, Matang  dan Selama membantu mengikuti laman Facebook kami atas akaun SMK Convent Taiping Dengue Patrol selain platform Instagram, Youtube dan dan blog kami,” katanya.