SERI ISKANDAR - Membudayakan Amalan Guru Penyayang ternyata dapat mewujudkan rasa dihargai dan kasih sayang dalam kalangan pelajar dan guru.

Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar Abu Hamid Meri berkata, program yang diperkenal sejak 2013 lalu terbukti memberikan impak yang positif.

"Ia bukan sahaja dapat mengeratkan kasih sayang antara pelajar dan guru, bahkan pelajar itu sendiri sentiasa berasa diri mereka dihargai," katanya ketika merasmikan Amalan Guru Penyayang SMK Seri Iskandar.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah mengalu-alukan kehadiran pelajar ke sekolah, memberi penghargaan kepada pelajar seperti menyambut hari jadi pada bulan tertentu.

"Turut diadakan amalan 3S (Senyum, Salam, Sapa) dan Program Mentor Mentee, iaitu seorang guru dalam sekumpulan kecil pelajar juga dapat diwujudkan," katanya.

Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling itu berjaya merapatkan jurang antara guru dan pelajar, di mana pelajar tidak lagi berasa kekok untuk bertanya soalan mengenai pembelajaran sekali gus memberi impak positif kepada kualiti kurikulum pelajar itu sendiri.

Dalam ucapan perasmian Abu Hamid turut menegaskan, pelajar juga perlu menghormati guru supaya guru dapat menyayangi anak muridnya.

"Selain menyedari setiap pelajar itu adalah aset sekolah, guru juga dapat menginsafi bahawa setiap murid merupakan rahmat kepada guru," katanya.