IPOH - Penarafan ke arah Apple Distinguished School diharap dapat membentuk karakter holistik dalam kalangan pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, menjelang 2020.

Bekas pengetuanya Abdul Hashim Abdul Karim berkata,  proses penarafan berkenaan telah pun bermula sejak 2014 lalu bersama dengan 10 sekolah premier lain di negeri ini yang menggunakan iPad dalam proses pembelajaran masing-masing.

“Kita ajar mereka gunakan aplikasi dalam apple yang sangat banyak bagi membentuk bentuk karekter holistik dalam kalangan pelajar.

“Pelajar kita gunakan iPad sepenuhnya dan kita harap menjelang 2020 kita dapat mencapai penarafan sebagai Apple Distinguished  School,” katanya.

Abdul Hashim berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sanjungan Budi Lestari Kasih, Pengetua Cemerlang di Dewan Besar STAR, baru-baru ini.

Difahamkan juga, majlis berkenaan dianjurkan juga sempena persaraan Abdul Hashim yang telah berkhidmat mulai 12 Julai  2010 lalu dan sekali gus menyaksikan  bekas pelajar sesi 1972 sehingga 1977 itu muncul selaku pengetua paling lama berkhidmat di sekolah berasrama penuh berkenaan iaitu selama lapan tahun, tujuh bulan dan 20 hari.

Sementara itu Abdul Hashim berkata, tema Kesultanan Melayu  yang menjadi tema sempena majlis persaraannya itu adalah hasil idea daripada guru-guru di sekolah berkenaan.

Katanya, tema berkenaan adalah hasil ilham daripada kelab  guru di sekolah berkenaan. 

“Sebenarnya tema ini ada dalam hari guru dan sebagainya. Cuma tema ini diperkasakan lagi sempena persaraan saya kali ini,” katanya.