IPOH - Mata pelajaran Sejarah diharap mampu dijadikan sebagai mata pelajaran yang menyeronokkan dalam proses pembelajaran di sekolah.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, mata pelajaran berkenaan dilihat sebagai antara wadah penting bagi tujuan membina negara.

Malah menurutnya, mata pelajaran Sejarah dalam diharap mampu menjadi pemangkin kepada anjakan dan perubahan khususnya dalam konteks Malaysia Baharu pada hari ini.

“Mata pelajaran Sejarah perlu dijadikan mata pelajaran yang menyeronokkan dan ia disertai oleh semua golongan rakyat.

“Selain itu, minat terhadap mata pelajaran Sejarah diharap menjadi pemangkin kepada anjakan dan perubahan pada masa hadapan,” katanya, semalam.

Difahamkan, mulai SPM 2013 lalu, semua calon wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak mendapat sijil SPM.

Sementara itu, Abdul Aziz melahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang sekolah-sekolah agama yang menunjukkan prestasi yang baik pada SPM 2018 lalu.

Malah katanya, kerajaan negeri juga telah menyediakan sokongan dan bantuan kepada sekolah-sekolah menerusi Yayasan Perak.

“Kita telah sediakan sokongan dan bantuan kepada sekolah melalui Yayasan Perak, kita berikan dana kepada kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sebagainya,” katanya.