PARIT BUNTAR - Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Ramli menyasarkan penyediaan persekitaran kawasan sekolah dan suasana pembelajaran kondusif seumpama ‘taman ilmu’ kepada semua murid dan guru demi keselesaan pada masa hadapan.

Guru Besarnya, Azizah Dahalan berkata, sasaran itu penting demi menyumbang kepada keseronokan dan kegembiraan para murid terhadap aktiviti pembelajaran di sekolah, sekaligus menggalakkan peningkatan peratusan kehadiran mereka setiap hari.

Menurutnya, pelbagai inisiatif penting dirangka pihak sekolah dengan kerjasama jitu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti pelaksanaan projek keceriaan sekolah secara menyeluruh.

“Susulan itu, pihak sekolah bersyukur hampir 95 peratus pelaksanaan projek keceriaan sekolah dirancang sejak awal tahun berjaya disiapkan dan inisiatif itu tidak mampu direalisasikan tanpa kerjasama PIBG dan warga sekolah sendiri.

“Antara projek keceriaan sekolah dilaksanakan adalah usaha transformasi bilik darjah kepada dekorasi lebih ceria, pelancaran Taman Sains dan Matematik dan projek penyediaan lukisan mural di seluruh dinding bangunan sekolah.

“Pengurusan SK Haji Ramli berharap mampu menyediakan prasarana sekolah pada tahap terbaik di samping menjadikan persekitaran sekolah seumpama taman dan syurga ilmu dalam tempoh segera,” katanya kepada media pada majlis Hari Kesihatan Sedunia peringkat sekolah 2019 di sini, baru-baru ini.

Azizah (kanan) dan Dr Zamri (tengah) melawat pameran kesihatan diadakan di SK Haji Ramli, Parit Buntar.

 

Majlis berkenaan dirasmikan Pegawai Kesihatan Daerah Kerian, Dr Mohd Zamri Md Ali.

Azizah berkata, fokus utama pengurusan sekolah mempertingkatkan kualiti dan keceriaan prasarana sekolah pada tahap terbaik kerana inisiatif itu menyumbang kepada peningkatan peratusan kehadiran murid ke sekolah.

Sebagai contoh, beliau menegaskan tahap kehadiran murid ke sekolah itu pada tahun ini sangat cemerlang, melepasi sasaran 96 peratus bagi kriteria peratusan kehadiran murid sekolah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Susulan kejayaan itu, pengurusan sekolah menaruh keyakinan mampu memenangi pertandingan Keselamatan, Kesihatan dan Kebersihan (3K) Peringkat Negeri Perak yang dianjurkan KPM berdasarkan pelbagai usaha keras dibuat.

“SK Haji Ramli turut mengidamkan memenangi pertandingan bertaraf kebangsaan di bawah program Drink Move Be Strong (DMBS) yang dianjurkan syarikat tenusu terkemuka, Dutch Lady tidak lama lagi,” katanya.

Dari aspek kesihatan dan keselamatan, Azizah menegaskan pelbagai aktiviti kesihatan dianjurkan seperti program senamrobik bersama komuniti setempat Kampung Kedai Empat, yang diketuai pasukan senam zumba dari kalangan ahli PIBG sekolah.

“Selain itu, para murid didedahkan tatacara bagaimana keluar dari bilik darjah dengan selamat dan program penjagaan gigi untuk kesihatan diri.

“Melalui pelbagai bentuk amalan keselamatan, kebersihan dan kesihatan diterapkan kepada keseluruhan 176 murid sekolah ini, saya yakin mereka mampu memanfaatkannya dalam kehidupan seharian sekaligus menjadi generasi masa hadapan lebih berketrampilan,” katanya.          

Azizah (kanan) mengiringi Dr Zamri (kiri) merasmikan Taman Sains dan Matematik yang merupakan sebahagian inisiatif projek keceriaan sekolah dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama PIBG SK Haji Ramli.
 

Azizah bersama dua maskot program DMBS serta sebahagian besar warga SK Haji Ramli, Parit Buntar meraikan sambutan Hari Kesihatan Sedunia peringkat sekolah 2019, baru-baru ini.